Kes virus Nipah di India terkawal, tiada jangkitan lanjut dilaporkan

Foto AFP

MUMBAI, 28 Januari– Pihak berkuasa India mengesahkan bahawa penularan virus Nipah berjaya dikawal dengan pantas selepas dua kes dikesan di negeri Bengal Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penularan virus Nipah di Bengal Barat dikawal pantas melalui langkah kawalan segera.
  • 196 kontak telah dijejak dan semuanya diuji negatif bagi jangkitan.
  • Surveillance dipertingkatkan, ujian makmal dan siasatan lapangan dilaksanakan.
  • Virus Nipah tiada vaksin dan mempunyai kadar kematian tinggi menurut WHO.

Kementerian Kesihatan India dalam satu kenyataan pada Selasa menyatakan bahawa aspek pengawasan dipertingkatkan, ujian makmal dan siasatan lapangan dilaksana sekali gus memastikan penularan kes dapat dikawal dengan cepat.

Setakat ini, tiada butiran lanjut mengenai dua pesakit yang dijangkiti diberikan.

“Kejadian ini sentiasa dipantau dan semua langkah kesihatan awam yang diperlukan telah dilaksanakan,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, seramai 196 individu yang pernah berhubung dengan kes berkenaan telah dijejak dan kesemuanya disahkan negatif daripada jangkitan.

Virus Nipah, yang boleh merebak daripada haiwan ke manusia, tiada vaksin dan mempunyai kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Virus Nipah mula dikenal pasti pada 1998 selepas merebak dalam kalangan penternak babi di Malaysia.

Di India, wabak pertama dilaporkan di Bengal Barat pada 2001, manakala pada 2018, sekurang-kurangnya 17 orang meninggal dunia di Kerala, dan pada 2023, dua kematian dilaporkan di negeri yang sama.

Gejala jangkitan termasuk demam tinggi, muntah, dan jangkitan pernafasan manakala kes serius boleh menyebabkan sawan dan radang otak yang membawa kepada koma.

Kelawar buah dikenal pasti sebagai pembawa semula jadi virus dan dianggap sebagai punca utama wabak seterusnya. -REUTERS