
ISTANBUL, 11 Ogos – Polis Turkiye menemukan wang tunai lebih AS$1.3 juta (RM5.7 juta), emas dan barang kemas ketika menggempur kediaman ketua kumpulan penyokong Kelab Bola Sepak Galatasaray.
- Operasi hampir sembilan jam merampas wang tunai 840,000 euro, pelbagai mata wang, sepucuk pistol dan peluru.
- Pihak berkuasa menyita barangan untuk siasatan lanjut.
- Suspek Sebahattin Sirin ditahan dan berdepan tuduhan jual tiket pasaran gelap, mencetuskan gangguan ketenteraman stadium.
- Sirin mendakwa Menteri Kehakiman Akin Gurlek terlibat memastikan Fenerbahce menang liga; kementerian belum beri reaksi.
Media tempatan melaporkan, operasi hampir sembilan jam terbabit turut merampas wang tunai lebih 840,000 euro, pelbagai mata wang asing lain, sepucuk pistol dan peluru.
Pihak berkuasa menyita barangan tersebut untuk siasatan lanjut.
Suspek, Sebahattin Sirin, yang ditahan pada Ahad, kini berdepan tuduhan mendalangi penjualan tiket di pasaran gelap hingga mencetuskan gangguan ketenteraman dalam stadium.
Sehari sebelum penahanannya, Sirin menerusi hantaran di platform X telah membuat tuduhan terbuka terhadap Menteri Kehakiman Turkiye, Akin Gurlek.
Dakwanya, menteri berkenaan sebahagian daripada kumpulan dalaman kerajaan yang mahu memastikan Fenerbahce menjuarai liga musim ini.
Setakat ini, pihak kementerian mahupun kelab Fenerbahce belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi membalas tuduhan tersebut.-AFP