
GAZA, 2 Februari – Israel menamatkan operasi kemanusiaan Doktor Tanpa Sempadan atau Medecins Sans Frontieres (MSF) di Gaza selepas organisasi itu didakwa kononnya gagal menyerahkan senarai kakitangan Palestin.
- Israel menghentikan operasi MSF di Gaza kerana dakwaan kegagalan menyerahkan senarai kakitangan Palestin.
- MSF enggan beri nama kakitangan tanpa jaminan keselamatan, perlindungan data dan kebebasan operasi perubatan.
- Sekatan boleh menghentikan bantuan perubatan kritikal, menjejaskan kecemasan, penjagaan ibu dan kanak-kanak di Gaza.
Kementerian Hal Ehwal Diaspora dan Memerangi Antisemitisme Israel berkata, MSF akan menghentikan operasi dan meninggalkan Gaza selewat-lewatnya 28 Februari atas alasan kegagalan mematuhi syarat pendaftaran.
MSF bagaimanapun menyifatkan tindakan itu sebagai alasan untuk menyekat bantuan kemanusiaan ke wilayah yang terjejas teruk akibat perang.
“Pihak berkuasa Israel memaksa organisasi kemanusiaan membuat pilihan mustahil antara mendedahkan kakitangan kepada risiko atau menghentikan rawatan perubatan penting kepada penduduk yang amat memerlukan,” menurut kenyataan MSF.
Organisasi itu menegaskan pihaknya enggan menyerahkan nama kakitangan kerana gagal menerima jaminan keselamatan, perlindungan data peribadi serta kebebasan operasi perubatan.
MSF memberi amaran sekatan sedemikian boleh memaksa organisasi bantuan menarik diri ketika keperluan kesihatan di Gaza berada pada tahap kritikal.
MSF merupakan antara penyedia utama bantuan perubatan di Gaza dan kini mengendalikan kira-kira 20 peratus kapasiti katil hospital di wilayah itu.
Menurut organisasi tersebut, lebih 800,000 konsultasi perubatan dan 10,000 kelahiran bayi dilaksanakan sepanjang 2025 sahaja, selain menyediakan bekalan air minuman.
Kumpulan bantuan antarabangsa memberi amaran tanpa sokongan organisasi seperti MSF, perkhidmatan kecemasan, kesihatan ibu dan rawatan kanak-kanak berisiko lumpuh sepenuhnya di Gaza.-AFP