
ENGLAND, 11 Mei – Hantavirus tidak akan mengakibatkan pandemik seperti Covid-19 kerana risiko penularan kepada orang awam masih rendah, walaupun pemantauan ketat diteruskan terhadap semua individu yang terdedah.
- Pengasingan dan pemerhatian dijalankan di Hospital Arrowe Park untuk individu terdedah.
- Risiko hanya tinggi jika mempunyai hubungan sangat rapat dengan penumpang atau kru kapal MV Hondius.
- Tiada seorang pun daripada 22 warga Britain di kapal menunjukkan simptom; beberapa dihantar pulang untuk kuarantin.
- Hantavirus biasanya disebarkan melalui air kencing, najis atau air liur tikus, atau penyedutan zarah virus; penularan manusia kepada manusia jarang berlaku.
Demikian ditegaskan pegawai perubatan susulan kebimbangan penduduk tempatan mengenai tempoh pengasingan yang dirancang dilakukan di Hospital Arrowe Park dekat Liverpool.
Ketua Pegawai Eksekutif Wirral University Teaching Hospital Trust, Janelle Holmes berkata beliau memahami kebimbangan yang dirasai sesetengah pihak tetapi memberi jaminan kepada orang ramai bahawa Hantavirus tidak sama seperti Covid-19.
“Hakikatnya, Hantavirus tidak seperti Covid-19 sebelum ia menjadi pandemik tetapi sebenarnya Hantavirus adalah virus yang boleh diuruskan dengan sewajarnya. Jadi ia sangat berbeza dan risikonya sangat rendah.
Anda berisiko jika mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan individu yang berada dalam kelompok penumpang atau kru Kapal MV Hondius,” jelasnya lagi.
Beliau berkata tiada seorang pun daripada 22 warga Britain yang berada dalam kapal persiaran berkenaan menunjukkan sebarang simptom Hantavirus.
“Selepas pemeriksaan awal, beberapa daripada mereka akan dihantar pulang untuk proses kuarantin,” katanya.
Beliau menambah, pasukan pakar perubatan akan memastikan mereka yang dikuarantin dalam bangunan melakukan saringan dan penilaian berterusan.
Pada Jumaat, Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom telah mengarahkan semua penumpang dan anak kapal mengasingkan diri selama 45 hari sekembalinya ke kediaman masing-masing.
Secara umum, Hantavirus tidak mudah berjangkit antara manusia.
Kebiasaannya jangkitan berlaku melalui sentuhan dengan air kencing, najis atau air liur tikus yang dijangkiti; atau menyedut zarah virus di udara (contohnya di ruang tertutup yang tercemar).
Antara simpptom awal ialah demam tinggi dan keletihan melampau termasuk sakit otot dan sakit kepala di samping loya, muntah atau cirit-birit.