
GAZA CITY, 4 Ogos- Hamas meminta penjelasan daripada Lembaga Keamanan (Board of Peace) pimpinan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung syarat pelaksanaan pelan Gaza khususnya berkaitan pelucutan senjata dan pengunduran Israel.
- Board of Peace menyatakan pengunduran tentera Israel dari Gaza hanya selepas proses pelucutan senjata selesai.
- Hamas khuatir kenyataan Board fokus kepada isu senjata tanpa menyentuh tanggungjawab Israel termasuk aspek kemanusiaan dan penghentian serangan.
- Hamas menunggu jawapan rasmi daripada Mladenov mengenai syarat dipersetujui, pendirian terhadap peningkatan ketenteraan Israel dan kelewatan pelaksanaan.
Hamas menyuarakan kebimbangan selepas Board of Peace menyatakan pengunduran tentera Israel dari Gaza hanya akan bermula selepas kumpulan itu melengkapkan proses pelucutan senjata.
Sebelum ini, Hamas memaklumkan persetujuan untuk menyerahkan senjata selepas badan itu menerbitkan pelan hala tuju yang merangkumi pelucutan senjata secara berperingkat serta pengunduran Israel secara berfasa dari Gaza.
Bagaimanapun, seorang pegawai Hamas berkata kenyataan terbaharu Board of Peace hanya memberi tumpuan kepada isu senjata tanpa menyentuh tanggungjawab Israel termasuk aspek kemanusiaan dan penghentian serangan di Gaza.
“Kami sedang menunggu jawapan jelas dan rasmi daripada Mladenov berhubung syarat yang dipersetujui, pendiriannya terhadap peningkatan ketenteraan Israel di Gaza serta kelewatan pelaksanaan perjanjian itu,” kata pegawai Hamas kepada AFP.
Kenyataan itu merujuk kepada Nickolay Mladenov, wakil kanan Gaza di bawah Board of Peace, selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Isnin.
Sementara itu, Qatar, Mesir dan Turkiye yang menjadi pengantara gencatan senjata di Gaza mengkritik Israel susulan peningkatan semula serangan di wilayah Palestin tersebut.
Board of Peace sebelum ini memaklumkan pengunduran Israel melepasi Garisan Kuning yang memisahkan kawasan kawalan Hamas dan tentera Israel hanya akan dilakukan selepas proses pelucutan senjata selesai. – AFP