Nepal beri penghormatan terakhir kepada pendaki gunung terkenal, Nirmal Purja

Nirmal Purja ketika berjaya menawan puncak ketiga dalam ekspedisinya/ REUTERS

KATHMANDU, 5 Ogos Orang ramai berhimpun di Maitighar Mandala, di sini pada Selasa bagi menghadiri upacara nyalaan lilin sebagai penghormatan kepada pendaki gunung terkenal negara itu, Nirmal Purja, serta beberapa lagi pendaki yang terkorban dalam kejadian runtuhan salji di Broad Peak, Pakistan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nirmal Purja terkenal selepas memecahkan rekod mendaki semua 14 puncak tertinggi dunia dalam enam bulan pada 2019.
  • Purja dilaporkan antara mangsa yang terkorban selepas runtuhan salji di Broad Peak dan syarikat ekspedisi mengesahkan kematian mereka.
  • Orang ramai membawa gambar dan sepanduk sebagai penghormatan; bekas pendaki menggesa kerajaan ambil serius insiden itu.

Para peserta menyalakan lilin, dan bertafakur bagi mengenang mangsa tragedi berkenaan. Sami Buddha turut mengetuai upacara keagamaan.

Manakala orang ramai membawa gambar, sepanduk dan colok sebagai tanda penghormatan terhadap jasa serta pencapaian mangsa dalam dunia pendakian gunung.

Purja, 43, dikenali di peringkat antarabangsa selepas mencipta rekod mendaki kesemua 14 puncak tertinggi dunia dalam tempoh enam bulan pada 2019.

Beliau merupakan antara 10 pendaki yang dilaporkan hilang selepas runtuhan salji melanda Broad Peak pada 30 Julai lalu.

Syarikat ekspedisinya kemudian mengesahkan Purja bersama beberapa anggota pasukannya terkorban dalam tragedi tersebut.

Bekas pendaki, Dawa Chhiri Sherpa, menyifatkan insiden itu sebagai kehilangan besar buat seluruh negara kerana mangsa telah mengharumkan nama Nepal di pentas antarabangsa menerusi sumbangan mereka dalam bidang pendakian gunung.

“Ini bukan kehilangan peribadi, sebaliknya kehilangan buat seluruh negara. Mereka berusaha mewakili Nepal di pentas antarabangsa dan menyumbang kepada negara. Tragedi ini amat besar dan kerajaan perlu memandang serius insiden ini,” katanya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.