Lima maut dalam serangan dron Ukraine ke atas gudang di Rusia

Serangan dron Ukraine ke atas gudang di beberapa wilayah Rusia/ REUTERS

MOSCOW, 5 Ogos Sekurang-kurangnya lima maut manakala 11 lagi cedera dalam siri serangan dron Ukraine yang menyasarkan tiga gudang di beberapa wilayah di Rusia awal pagi Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua gudang yang diserang dikendalikan oleh Wildberries, peruncit dalam talian terbesar Rusia.
  • Pusat logistik Krasny Bor di Leningrad terbakar selepas diserang; seorang mangsa dilaporkan cedera.
  • Serangan paling teruk di Chekhov, wilayah Moscow, mengakibatkan kematian dan kecederaan; Wildberries anggapnya tindakan keganasan.

Menurut pihak berkuasa tempatan, dua daripada gudang yang diserang dikendalikan Wildberries, syarikat peruncitan dalam talian terbesar Rusia.

Di wilayah Leningrad, berhampiran bandar kedua terbesar Rusia, St. Petersburg, sebuah pusat logistik di Krasny Bor terbakar selepas dipercayai diserang dron.

Gabenor wilayah itu, Alexander Drozdenko, berkata seorang mangsa cedera dalam kejadian berkenaan.

Wildberries mengesahkan kebakaran berlaku di fasiliti logistik itu susulan serangan pada 4 Ogos, namun memaklumkan tiada kematian dilaporkan di lokasi tersebut.

Sementara itu, sebuah lagi fasiliti Wildberries di wilayah Tver, barat laut Moscow, turut mengalami kerosakan akibat serangan dron.

Pemangku Gabenor Tver, Vitaly Korolyov berkata, tiada mangsa dilaporkan dalam insiden itu.

Bagaimanapun, serangan paling buruk berlaku di bandar Chekhov, wilayah Moscow, apabila sebuah gudang terbakar selepas diserang dron, mengorbankan lima individu dan mencederakan 10 yang lain.

Gabenor Wilayah Moscow, Andrei Vorobyov pula berkata, maklumat gudang yang terbakar itu tidak didedahkan secara terperinci.

Ukraine sebelum ini dilaporkan berusaha mengganggu operasi Wildberries, yang sering dianggap sebagai platform e-dagang terbesar Rusia dan antara tonggak utama ekonomi pengguna negara itu.

Sejak 18 Julai lalu, lebih 10 fasiliti Wildberries dilaporkan menjadi sasaran serangan Ukraine.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wildberries, Tatyana Kim, menyifatkan serangan berterusan itu sebagai “tindakan keganasan.”- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.