
DAVOS, 22 Januari – Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde memberi amaran ekonomi global sedang berdepan risiko baharu, meskipun beberapa unjuran prestasi ekonomi dunia, khususnya di Zon Euro, menunjukkan perkembangan lebih baik daripada jangkaan.
- Fragmentasi geopolitik menghakis keyakinan terhadap sistem ekonomi dunia dan menjadi ancaman utama kestabilan global.
- Perkembangan pesat pendigitalan dipacu kecerdasan buatan mengubah ekonomi merentas sektor dan menimbulkan cabaran besar.
- Perubahan iklim kekal ancaman serius memerlukan pembiayaan peralihan mencukupi serta perhatian keselamatan ketenteraan dan siber.
Dalam temu bual eksklusif bersama China Global Television Network (CGTN) sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2026, Lagarde berkata ketegangan geopolitik, kecerdasan buatan (AI) dan perubahan iklim merupakan antara ancaman utama yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi global.
Menurutnya, risiko terbesar ketika ini ialah fragmentasi geopolitik yang menghakis keyakinan terhadap sistem ekonomi dunia.
“Ancaman nombor satu ialah perpecahan geopolitik yang melemahkan keyakinan orang ramai terhadap ekonomi.
“Cabaran kedua pula ialah kepantasan pendigitalan, khususnya yang dipacu kecerdasan buatan, yang mengubah ekonomi dalam pelbagai dimensi dan hampir semua sektor,” katanya.
Lagarde turut mengingatkan perubahan iklim kekal sebagai ancaman serius meskipun isu itu kurang diberi perhatian kebelakangan ini.
“Ancaman perubahan iklim masih berterusan dan memerlukan pembiayaan peralihan yang mencukupi bagi mengurangkan kesannya. Selain itu, isu keselamatan sama ada keselamatan ketenteraan atau keselamatan siber turut semakin ketara di semua peringkat,” jelasnya.
Forum Ekonomi Dunia 2026 yang berlangsung di Davos dibuka pada Isnin dan berakhir Jumaat ini, dengan tema “A Spirit of Dialogue”.
Kira-kira 3,000 pemimpin dan pakar global berhimpun bagi membincangkan lima cabaran utama dunia, termasuk memperkukuh kerjasama antarabangsa, merangsang sumber pertumbuhan baharu serta melaksanakan inovasi secara bertanggungjawab dan berskala besar. – REUTERS