Doktor ‘pembunuh bersiri’ dipenjara seumur hidup kerana membunuh 15 pesakit

Foto AFP

BERLIN, 8 Julai – Mahkamah Berlin menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang doktor penjagaan paliatif selepas didapati bersalah membunuh 15 pesakitnya dengan memberikan dos sedatif hingga maut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan memasukkan campuran ubat bius dan pelemas otot melumpuhkan pernafasan mangsa, menyebabkan kematian dalam beberapa minit.
  • Tertuduh mengaku bersalah dan menyatakan penyesalan: "Saya telah membunuh manusia... Saya kecewa dengan diri saya sendiri."
  • Pendakwaan menyiasat dakwaan membunuh lebih 70 mangsa lagi, dan hakim kata sabitan mungkin hanya sebahagian kecil jenayahnya.

Johannes M., 41, disabitkan kesalahan membunuh 12 wanita dan tiga lelaki ketika mengadakan lawatan perubatan ke rumah mangsa antara September 2021 hingga Julai 2024.

Hakim Sylvia Busch menyatakan sabitan bagi 15 kes pembunuhan berkenaan mungkin hanya sebahagian kecil daripada jenayah sebenar yang dilakukannya.

“Tertuduh disifatkan sebagai pembunuh bersiri dalam kes yang dianggap sebagai luar biasa dan sukar diterima akal,” katanya.

Mahkamah mendapati Johannes M. sengaja menyuntik campuran ubat bius dan ubat pelemas otot yang melumpuhkan sistem pernafasan mangsa.

Ini menyebabkan mangsa mengalami kegagalan pernafasan dan meninggal dunia dalam tempoh beberapa minit.

Bagi menutup jejak jenayahnya, tertuduh turut bertindak membakar pangsapuri mangsa.

Dalam prosiding pada Isnin lalu, Johannes M. akhirnya mengaku bersalah atas tindakannya.

“Saya telah membunuh manusia… Saya kecewa dengan diri saya sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, pihak pendakwaan juga mendedahkan tertuduh kini sedang disiasat atas dakwaan membunuh lebih 70 mangsa lain.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.