
COX’S BAZAR, 8 Julai – Hujan lebat berterusan di kem pelarian di sini pada Selasa mencetuskan kejadian tanah runtuh hingga mengorbankan tujuh kanak-kanak dan seorang guru yang sedang mengikuti sesi persekolahan.
- Mangsa tertimbus dan lemas dalam runtuhan lumpur di kem pelarian.
- Pesuruhjaya mengesahkan empat mangsa meninggal di tempat, empat lagi mati ketika dirawat di hospital.
- Kejadian merumitkan lagi situasi di Cox's Bazar yang menempatkan lebih 1.2 juta pelarian Rohingya.
- Pusat ramalan dan amaran banjir beri amaran hujan lebat berlarutan empat hari, meningkatkan risiko bencana susulan.
Menurut pihak berkuasa, mangsa tertimbus dan lemas di dalam runtuhan lumpur.
Pesuruhjaya Repatriasi Pelarian Bangladesh, Mohammed Mizanur Rahman mengesahkan bilangan mangsa yang terkorban.
“Empat mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala empat lagi ketika menerima rawatan di hospital,” katanya.
Situasi itu memburukkan lagi keadaan di di Cox’s Bazar yang kini dihuni lebih 1.2 juta pelarian Rohingya selepas melarikan diri daripada tindakan kekerasan tentera Myanmar pada tahun 2017.
Kejadian tanah runtuh sama turut berlaku beberapa hari sebelumnya hingga mengorbankan sekurang-kurangnya lapan pelarian.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Bangladesh memberi amaran hujan lebat dijangka berlarutan untuk tempoh empat hari lagi, sekali gus meningkatkan risiko bencana susulan.- AFP