China larang pemegang pintu tersembunyi, demi keselamatan

Pintu EV Zeekr X7/ AFP

BEIJING, 3 Februari – China akan menguatkuasakan larangan penggunaan pemegang pintu tersembunyi pada kereta yang dijual di negara itu bermula tahun hadapan, sekali gus menamatkan secara berperingkat reka bentuk minimalis yang dipopularkan oleh Tesla berikutan kebimbangan terhadap aspek keselamatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • China melarang pemegang pintu tersembunyi pada kereta baharu mulai 1 Januari 2027 demi keselamatan.
  • Kenderaan perlu ada mekanisme pelepas mekanikal pada pemegang pintu dalam dan luar.
  • Pengecualian sementara diberikan kepada model yang diluluskan sebelum pengumuman untuk patuh dalam dua tahun.
  • Peraturan juga menghendaki kebolehlihatan pemegang pintu dalaman dengan tanda grafik kekal.

Peraturan baharu yang diumumkan Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat pada Isnin itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027, dan mewajibkan pemegang pintu mempunyai mekanisme pelepas secara mekanikal di bahagian dalam serta luar kenderaan.

Model kenderaan yang telah diluluskan untuk dilancarkan sebelum ini diberikan tempoh tambahan selama dua tahun bagi mematuhi peraturan berkenaan, menurut kementerian itu. Kementerian berkenaan memaklumkan, peraturan baharu tersebut akan ‘meningkatkan tahap reka bentuk keselamatan automotif’.

Kebimbangan terhadap keselamatan semakin meningkat di China susulan penggunaan pintu kenderaan yang licin dan aerodinamik, yang walaupun mengurangkan rintangan angin, namun berisiko gagal berfungsi sekiranya berlaku kemalangan.

Satu insiden berprofil tinggi berlaku pada Oktober lalu apabila pasukan penyelamat dilaporkan gagal membuka pintu sebuah kenderaan elektrik Xiaomi yang terbakar di bandar Chengdu, barat daya China.

Pemandu kenderaan itu, yang dilaporkan berada di bawah pengaruh alkohol, meninggal dunia dalam nahas berkenaan. Peraturan baharu menetapkan semua pintu kenderaan kecuali pintu belakang mesti dilengkapi dengan pemegang pintu luaran mekanikal untuk pelepasan kecemasan.

Selain itu, peraturan turut memperincikan keperluan bagi meningkatkan kebolehlihatan pemegang pintu dalaman, termasuk kewajipan menggunakan tanda grafik kekal. China ketika ini merupakan pasaran kenderaan elektrik (EV) terbesar dunia, dengan puluhan jenama tempatan giat mengembangkan operasi ke luar negara.

Statistik yang diterbitkan bulan lalu menunjukkan syarikat China, BYD, berjaya menjual lebih banyak EV berbanding Tesla tahun lalu, sekali gus memintas perintis industri dari Amerika Syarikat itu buat pertama kali dalam jualan tahunan.

Pemegang pintu elektronik atau jenis ‘rata’ mula diperkenalkan dalam industri EV menerusi pelancaran Tesla Model S pada 2012. Pemegang pintu yang boleh dilipat masuk ke dalam badan kenderaan itu memberikan sedikit peningkatan kecekapan dengan mengurangkan rintangan angin ketika kenderaan bergerak.- AFP