Bank Pusat Rusia bimbang risiko inflasi meningkat

Foto AFP

MOSCOW, 25 April – Bank Pusat Rusia menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan inflasi pada masa hadapan meskipun bertindak menurunkan kadar faedah utama kepada 14.5 peratus daripada 15 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bank Pusat bimbang risiko inflasi meningkat disebabkan faktor geopolitik dan perubahan dasar fiskal, memerlukan pendekatan berhati-hati dan seimbang.
  • Pihaknya menaikkan sedikit unjuran kadar utama purata tahun ini dan tahun depan sambil mengekalkan pendekatan dasar monetari yang berhati-hati.
  • Perbelanjaan bajet awal tahun menyumbang tekanan inflasi; ketatkan dasar monetari dijangka mengembalikan inflasi kepada sasaran sekitar separuh kedua tahun ini.

Ketua Bank Pusat Rusia, Elvira Nabiullina berkata, risiko inflasi meningkat ketara, dipengaruhi faktor geopolitik dan dasar ekonomi semasa.

“Ia berkait dengan konflik di Asia Barat dan kemungkinan perubahan dalam dasar fiskal. Dalam keadaan ini, kami perlu mengambil pendekatan lebih berhati-hati dan seimbang apabila membuat keputusan,” katanya.

Mengambil kira perkara tersebut, pihaknya menaikkan sedikit unjuran kadar utama purata tahun ini kepada 14 hingga 14.5 peratus, manakala untuk tahun hadapan pula kepada 8 hingga 10 peratus.

Beliau berkata peningkatan perbelanjaan bajet pada awal tahun turut menyumbang kepada tekanan inflasi yang berterusan.

Bagaimanapun, pihaknya mengunjurkan, langkah mengetatkan dasar monetari yang terkumpul akan mengembalikan inflasi kepada 4 peratus menjelang separuh kedua tahun ini.

Inflasi tahun ini diunjur tidak berubah antara 4.5 hingga 5.5 peratus. – AFP