
PARIS, 29 April – Bank Dunia menjangkakan harga tenaga global meningkat sehingga 24 peratus pada 2026, paras tertinggi sejak konflik Rusia dengan Ukraine tercetus pada 2022.
- Ketegangan Asia Barat ganggu infrastruktur tenaga; gangguan di Selat Hormuz, yang mengendalikan kira-kira 35% perdagangan minyak, mencetuskan kejutan bekalan besar.
- Harga baja dijangka meningkat ketara, didorong lonjakan harga urea; logam asas dan logam berharga turut diramal mencapai paras tertinggi.
- Bank Dunia memberi amaran harga komoditi boleh naik lagi jika konflik berterusan, dan golongan berpendapatan rendah akan paling terjejas.
Dalam laporan Commodity Markets Outlook terbaharu, badan itu menyatakan, peningkatan tersebut susulan ketegangan berterusan di Asia Barat.
Menurut laporan itu, gangguan terhadap infrastruktur tenaga serta laluan penghantaran di Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 35 peratus perdagangan minyak mentah global melalui laut telah mencetuskan kejutan bekalan terbesar setakat ini.
Ia melibatkan pengurangan awal sekitar 10 juta tong minyak sehari.
Laporan sama turut meramalkan harga komoditi keseluruhan akan meningkat sebanyak 16 peratus.
“Harga baja dijangka meningkat sebanyak 31 peratus tahun ini, didorong lonjakan 60 peratus dalam harga urea, manakala logam asas seperti aluminium, tembaga dan timah diramalkan mencecah paras tertinggi,” menurut laporan itu.
Pada masa sama, harga logam berharga dijangka meningkat sehingga 42 peratus apabila ketidaktentuan geopolitik mendorong permintaan terhadap aset selamat.
Laporan itu turut memberi amaran harga komoditi boleh meningkat lebih tinggi sekiranya konflik berterusan atau gangguan bekalan akibat konflik Amerika Syarikat dengan Iran berpanjangan.
Ketua Ahli Ekonomi dan Naib Presiden Kanan Ekonomi Pembangunan World Bank Group, Indermit Gill berkata kesan konflik itu akan dirasai secara berperingkat terhadap ekonomi global dengan golongan berpendapatan rendah dijangka menerima kesan paling besar. – REUTERS