AS umum tarif 25 peratus ke atas import semikonduktor

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menggariskan pelan dua fasa susulan cadangan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick/foto REUTERS

WASHINGTON, 15 Januari – Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tarif baharu sebanyak 25 peratus ke atas sebahagian semikonduktor import, peralatan pembuatan semikonduktor serta produk berkaitan, berkuat kuasa mulai Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS kenakan tarif 25% segera ke atas sebahagian semikonduktor, peralatan pembuatan dan produk berkaitan kritikal untuk AI dan dasar teknologi.
  • Langkah dua fasa: rundingan antarabangsa untuk kukuhkan rantaian bekalan di fasa pertama, perluasan tarif lebih tinggi dalam fasa kedua.
  • Cadangan mekanisme pampasan bagi syarikat yang melabur dalam pengeluaran dan rantaian bekalan semikonduktor dalam negara.

Menurut satu perisytiharan yang dimuat naik di laman sesawang White House, Presiden AS, Donald Trump, menggariskan pelan dua fasa susulan cadangan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick, bagi memperkukuh industri semikonduktor negara itu.

Dalam fasa pertama, AS akan meneruskan rundingan dengan pihak berkuasa asing yang dikenal pasti berupaya membantu memperkukuh rantaian bekalan serta kapasiti industri semikonduktor domestik.

“Pada masa sama, tarif 25 peratus akan dikenakan serta-merta terhadap sebahagian kecil semikonduktor, peralatan pembuatan dan produk terbitan yang dianggap kritikal kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI) serta dasar teknologi AS,” menurut perisytiharan itu.

Perisytiharan itu turut menyatakan bahawa selepas rundingan berkaitan dimuktamadkan, tarif tersebut akan diperluaskan kepada rangkaian semikonduktor import yang lebih luas pada kadar yang jauh lebih tinggi dalam fasa kedua.

Selain itu, Lutnick turut mencadangkan mekanisme pampasan tarif, yang membolehkan syarikat yang melabur dalam pengeluaran semikonduktor dan rantaian bekalan di AS menikmati layanan tarif keutamaan.

Langkah terbaharu itu menyusuli kenyataan Trump pada Ogos 2025 lalu, yang menyatakan bahawa AS akan bergerak ke arah pengenaan tarif sehingga 100 peratus ke atas produk semikonduktor import.- REUTERS