
WASHINGTON, 23 Julai — Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengumumkan membangunkan program nuklear awam dengan Arab Saudi.
- Perjanjian menggariskan jaminan kawal selia untuk menyekat penyebaran senjata nuklear.
- Dua perjanjian dimeterai: kerjasama nuklear aman dan kawal selia dwipihak, ditandatangani oleh Setiausaha Tenaga AS Chris Wright dan Putera Abdulaziz bin Salman.
- Penganalisis melihat perjanjian sebagai langkah strategik AS untuk menghalang pengaruh Rusia dan China di Asia Barat.
Perjanjian bersejarah itu turut mengariskan jaminan Washington bahawa fasal kawalan kawal selia bagi menyekat penyebaran senjata nuklear.
Perkara itu disahkan Jabatan Tenaga AS yang menyatakan dua perjanjian dimeterai iaitu mengenai kerjasama nuklear aman dan kawal selia dwipihak.
Ia ditandatangani oleh Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright dan rakan sejawatannya dari Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman.
“Perjanjian ini meletakkan asas undang-undang untuk rakan kongsi bernilai bilion dolar yang akan berterusan selama beberapa dekad, sekali gus memajukan pelbagai objektif ekonomi dan strategik utama termasuk pencegahan penyebaran senjata nuklear,” menurut kenyataan Jabatan Tenaga AS.
Walaupun teks penuh perjanjian belum diterbitkan, laporan Wall Street Journal mendakwa wujud peruntukan yang membolehkan syarikat AS membina kemudahan pemprosesan pemayaan uranium di Arab Saudi.
Bagaimanapun, Jabatan Tenaga AS belum memberikan maklum balas rasmi mengenai laporan tersebut.
Pakar penganalisis keselamatan pula menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai langkah strategik AS untuk menghalang pengaruh Rusia dan China di Asia Barat.
Menurut Pengarah Inisiatif Dasar Tenaga Nuklear di Atlantic Council, Jennifer T. Gordon, perjanjian tersebut sebagai kejayaan besar bagi AS.
“Arab Saudi telah menegaskan bahawa mereka tetap akan memulakan program nuklear awam. Persoalannya sebelum ini hanyalah sama ada mereka akan bekerjasama dengan AS dan sekutunya, atau beralih kepada Rusia atau China,” katanya.-AFP