13 terkorban serangan udara di Afghanistan

Rakaman video menunjukkan penduduk berkumpul mengelilingi mangsa yang terkorban di daerah Spera, wilayah Khost, Afghanistan / foto REUTERS

KHOST, 10 Jun – Taliban mendakwa sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, termasuk 11 kanak-kanak, dalam serangan udara Pakistan yang menyasarkan tiga wilayah Afghanistan pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Taliban mendakwa serangan udara melanggar ruang udara Afghanistan dan menyasarkan kawasan penempatan awam.
  • Penduduk dan polis menyatakan mangsa tidak bersenjata, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, hidup dalam kemiskinan.
  • Pakistan berkata operasi menyasarkan militan, menuduh Kabul melindungi kumpulan bersenjata; insiden dijangka meningkatkan ketegangan antara kedua negara.

Menurut jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, sekurang-kurangnya 14 lagi individu, terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, turut cedera apabila beberapa kediaman awam dibom di wilayah Kunar, Khost dan Paktika.

Beliau mendakwa serangan tersebut melanggar ruang udara Afghanistan dan menyasarkan kawasan penempatan penduduk.

Seorang penduduk tempatan, Shirbat Khan, berkata keluarga yang menjadi mangsa serangan itu tidak mempunyai kaitan dengan sebarang kumpulan bersenjata.

“Keluarga itu hidup dalam kemiskinan dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti. Mereka keluarga yang tidak bersalah. Kami ingin bertanya kepada masyarakat antarabangsa, apakah kesalahan yang telah mereka lakukan?” katanya.

Ketua Polis Daerah Spera, wilayah Khost, Islam Noor, pula menyifatkan serangan itu sebagai tindakan yang menyalahi undang-undang dan mendakwa sebahagian besar mangsa terdiri daripada wanita serta kanak-kanak.

“Insiden seperti ini pernah berlaku sebelum ini dan berulang kali menjejaskan orang awam. Dalam kejadian hari ini juga, ramai wanita dan kanak-kanak terbunuh atau cedera,” katanya.

Sementara itu, Pakistan memaklumkan bahawa serangan yang disifatkannya sebagai “operasi bersasar” di kawasan sempadan Afghanistan-Pakistan telah mengorbankan 26 militan.

Tindakan tersebut dilakukan sebagai tindak balas terhadap beberapa siri serangan yang berlaku baru-baru ini di kawasan barat laut Pakistan.

Kerajaan Pakistan turut menuduh Kabul melindungi kumpulan militan yang beroperasi di sepanjang sempadan kedua-dua negara, namun dakwaan itu berulang kali dinafikan oleh pihak Taliban.

Insiden terbaharu itu dijangka menambah ketegangan antara Afghanistan dan Pakistan yang telah menyaksikan ratusan korban akibat konflik serta serangan rentas sempadan sepanjang tahun ini. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.