Slam satukan generasi peminat dalam The Grand Slam Unplugged 2

RINGKASAN BERITA AI
  • Konsert akustik The Grand Slam Unplugged 2 mengangkat susunan muzik lebih matang, segar dan emosional untuk semua generasi peminat.
  • Acara ini meraikan perjalanan seni Slam yang kekal relevan dari era kaset hingga penstriman digital.
  • Tarikh dan lokasi dipilih sebagai simbol penyatuan generasi peminat untuk mengimbau kenangan dan mengukuhkan legasi Slam.

KUALA LUMPUR, 29 Januari – Lebih tiga dekad selepas mencipta sejarah, kumpulan legenda rock tanah air Slam kembali menyentuh jiwa peminat menerusi sebuah persembahan eksklusif berkonsep akustik, The Grand Slam Unplugged 2, yang dijadualkan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Konsert ini dijangka menghidupkan semula kenangan manis era kegemilangan rock 1990-an, susulan kejayaan luar biasa The Grand Slam Unplugged pada 3 Ogos 1996 di Stadium Merdeka dimana sebuah konsert ikonik yang tetap diteruskan meskipun berdepan gangguan bekalan elektrik, dan sehingga kini dikenang sebagai antara persembahan paling bersejarah dalam landskap muzik tempatan.

Menurut penganjur, The Grand Slam Unplugged 2 bukan sekadar ulangan nostalgia, sebaliknya sebuah penghargaan terhadap perjalanan seni Slam yang telah merentasi pelbagai era daripada zaman kaset dan cakera padat (CD), sehinggalah ke era penstriman digital.

Konsert ini akan menampilkan persembahan akustik sebagai teras utama, dengan susunan muzik yang lebih matang, segar dan emosional, sesuai dinikmati oleh peminat setia mahupun generasi baharu.

Gitaris Slam, Shah, berkata konsert tersebut membawa makna besar bukan sahaja buat anggota kumpulan, malah kepada peminat yang membesar bersama karya Slam.

“The Grand Slam Unplugged 2 akan menjadi momen epik menerusi persembahan akustik Slam sebagai satu konsep yang kini cukup matang untuk dipersembahkan kepada semua,” katanya.

Jelas beliau, konsert ini bukan sekadar mengulang kisah gangguan elektrik yang pernah berlaku, sebaliknya menampilkan apresiasi terhadap kekuatan karya Slam yang terus relevan dan mampu bertahan dalam arus perubahan industri muzik.

Pemilihan tarikh 20 Jun 2026 serta lokasi Mega Star Arena disifatkan sebagai simbol pertemuan pelbagai generasi peminat ruang untuk mengimbau kenangan lama, sambil meraikan perjalanan seni sebuah kumpulan yang kekal utuh dan berpengaruh.

Dengan gabungan nostalgia, kematangan muzik dan keintiman persembahan akustik, The Grand Slam Unplugged 2 dijangka menjadi antara acara hiburan paling dinantikan pada 2026, sekali gus mengukuhkan lagi legasi Slam sebagai kumpulan rock legenda Malaysia.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan