Minnal FM segar dengan penjenamaan baharu

Pelancaran Penjenamaan Semula Siaran Minnal FM 2026 di Konti Radio Minnal FM, Wisma Radio Angkasapuri. Foto RTM

KUALA LUMPUR , 14 Januari – Selepas lebih dua dekad bersiaran, stesen radio Minnal FM tampil dengan penjenamaan segmen baharu sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukannya dalam landskap penyiaran semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penjenamaan semula Minal FM sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan stesen dalam landskap penyiaran semasa.
  • Fokus kepada penambahbaikan kandungan, pengukuhan identiti jenama dan pendekatan penyampaian lebih segar dan dinamik.
  • Matlamat menarik minat golongan muda melalui pembaharuan muzik latar, montaj dan 'sound of the station'.
  • Transformasi menyeluruh dilaksanakan sambil mengekalkan identiti teras dan memenuhi jangkaan pelbagai pendengar.

Penjenamaan semula itu disifatkan sebagai antara detik penting dalam sejarah Minnal FM, dengan tumpuan diberikan kepada penambahbaikan kandungan, pengukuhan identiti jenama serta pendekatan penyampaian yang lebih segar dan dinamik.

Timbalan Menteri Perpaduan, Yuneswaran Ramaraj berkata langkah tersebut penting bagi memastikan kelangsungan siaran Minnal FM kekal relevan seiring perubahan landskap media serta keperluan pendengar masa kini, khususnya golongan muda.

“Minnal FM merupakan sebuah stesen radio yang menyampaikan berita dan maklumat terkini secara sahih kepada masyarakat, khususnya golongan muda. Kepelbagaian segmen yang diperkenalkan juga diyakini mampu menarik minat pendengar daripada pelbagai peringkat usia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran Penjenamaan Semula Siaran Minnal FM 2026 di Konti Radio Minnal FM, Wisma Radio Angkasapuri, di sini.

Sementara itu, Pengurus Minnal FM, Kumaran Subramaniam berkata penjenamaan semula siaran tersebut dilaksanakan sejajar dengan keperluan semasa serta perubahan landskap media.

Menurut beliau, transformasi itu melibatkan penambahbaikan menyeluruh dari segi kandungan, identiti dan kaedah penyampaian siaran, namun identiti teras stesen radio berkenaan tetap dikekalkan.

“Kami memperbaharui ‘sound of the station’, termasuk muzik latar dan montaj yang telah digunakan sejak sekian lama. Pembaharuan ini bertujuan menarik minat golongan muda, tanpa mengabaikan pendengar setia Minnal FM,” katanya.

Beliau menegaskan penjenamaan semula itu bertujuan memastikan Minnal FM terus relevan, segar dan mampu memenuhi jangkaan pendengar daripada pelbagai latar belakang.