Konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia bakal ubati kerinduan peminat

Dewa 19 dan Padi Reborn bakal bergabung dalam konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 Februari – Buat pertama kali dalam sejarah, dua kumpulan gergasi Indonesia, Dewa 19 dan Padi Reborn akan bersatu di atas satu pentas menerusi konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dewa 19 dan Padi Reborn bersatu untuk konsert mega di Axiata Arena, mengubat kerinduan Baladewa di Malaysia.
  • Konsert dinamakan "Cintaku Tertinggal di Malaysia" menurut Iman Tang, menonjolkan hubungan istimewa antara Dewa 19 dan peminat Malaysia.
  • Barisan penuh Dewa 19 termasuk Ahmad Dhani, vokalis Ari Lasso, Virzha, Marcello dan pemain dram Tyo Nugros akan tampil bersama Padi Reborn.

Konsert yang dijadual berlangsung pada 6 Jun 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan dianjurkan Icon Entertainment itu dijangka mencetus fenomena tersendiri di kalangan peminat muzik serantau.

Dewa 19 bakal kembali mengubat kerinduan para Baladewa pada tahun ini selepas penampilan terakhir mereka di Kuala Lumpur tiga tahun lepas menerusi konsert A Night At The Orchestra – Chapter 5 pada 29 September 2023.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di hati anggota Dewa 19.

“Ada cinta yang selalu tertinggal di sini sejak mereka pertama kali dapat menembus pasaran dan memiliki Baladewa sendiri di Malaysia.

“Jadi selepas perbincangan dan mencapai kata sepakat, kami menamakan konsert yang bakal berlangsung pada 6 Jun 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan nama Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia,” ujar beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia itu akan menampilkan barisan anggota utama Dewa 19 termasuk pengasasnya, Ahmad Dhani, bersama Andra Ramadhan, Yuke Sampurna dan Agung Yudha.

Turut ditampilkan tiga vokalis utama Dewa 19 iaitu Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe atau Ello bersama pemain dram, Tyo Nugros.

Manakala Padi Reborn yang tampil sebagai band jemputan istimewa cukup terkenal dengan hit seperti Kasih Tak Sampai, Begitu Indah dan Menanti Sebuah Jawaban.