
KUALA LUMPUR, 20 April – Malaysia dan Singapura menyambut baik gencatan senjata sementara melibatkan beberapa pihak dalam konflik Asia Barat yang kian menghimpit rantaian tenaga dan bekalan dunia.
- Perdana Menteri Malaysia dan Singapura berbincang tentang langkah diplomatik menangani ketegangan Asia Barat.
- Malaysia menegaskan keperluan penyelesaian menyeluruh dan berkekalan; menyokong usaha diplomatik termasuk peranan Pakistan.
- Kepentingan mengekalkan kebebasan serta keselamatan laluan maritim di Selat Hormuz menurut undang-undang antarabangsa.
- Perlu mempercepat pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN untuk memperkukuh daya tahan sistem tenaga serantau.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan dalam perbualannya dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong hari ini.
“Kami menyambut baik gencatan senjata sementara melibatkan Amerika Syarikat, Iran, Israel dan Lubnan.
“Saya tegaskan keperluan mendesak untuk semua pihak menyokong penyelesaian yang lebih menyeluruh dan berkekalan. Malaysia menyokong usaha diplomatik yang sedang digerakkan, termasuk peranan Pakistan dalam membuka ruang dialog,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada masa sama, beliau menegaskan kepentingan mengekalkan kebebasan serta keselamatan laluan maritim di Selat Hormuz selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Menurutnya, perbincangan turut memberi tumpuan kepada isu tenaga termasuk usaha memperkukuh daya tahan sistem grid serta menangani cabaran keseimbangan penawaran dan permintaan.
Beliau berkata pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN perlu dipercepatkan sebagai langkah strategik bagi memperkukuh daya tahan tenaga serantau.
“Insya-Allah, melalui kerjasama erat dan pendekatan berpaksikan kepentingan rakyat, kita akan terus memastikan Malaysia dan ASEAN kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global ini,” katanya.