MCMC terima lebih 200,000 permohonan turunkan kandungan di media sosial

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil

MUAR, 20 April – Sebanyak 203,918 permohonan diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) daripada orang awam bagi menurunkan pelbagai kandungan di platform media sosial, bagi tempoh  Januari hingga semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebanyakan permohonan berkaitan kandungan perjudian dan penipuan dalam talian, kira-kira 91 peratus.
  • 81 peratus kandungan judi dan 58 peratus kandungan penipuan ditemui di platform Facebook.
  • Permohonan juga melibatkan pornografi, buli atau gangguan serta salah guna peranti.
  • Peniaga di media sosial boleh dikenakan tindakan sekiranya menggunakan perkataan lucah selepas aduan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata majoriti permohonan itu melibatkan kandungan perjudian dan penipuan dalam talian yang merangkumi kira-kira 91 peratus.

Beliau berkata selain itu, permohonan turut melibatkan kandungan pornografi, buli atau gangguan serta salah guna peranti.

“Kalau dibandingkan sebelum ini, inisiatif kita adalah untuk mengekang scam dan judi dalam talian. Saya boleh maklumkan 81 peratus kandungan judi dalam talian adalah di platform Facebook.

“Manakala 58 peratus kandungan scam juga di Facebook, termasuk iklan judi dan penipuan yang banyak terdapat di platform itu,” katanya.

Beliau ditemui selepas Program Kempen Internet Selamat di Perpustakaan Mini Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, di sini.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata peniaga di platform media sosial yang menggunakan perkataan lucah juga boleh dikenakan tindakan sekiranya terdapat aduan.

Setakat ini, sebanyak 47 program Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di institusi pengajian tinggi seluruh negara dengan penglibatan 23,196 mahasiswa.