
BERLIN, 11 April – Tayangan perdana antarabangsa filem biopik Michael berlangsung meriah di Berlin, Jerman dengan kehadiran barisan pelakon serta peminat setia legenda pop dunia, Michael Jackson.
- Jaafar Jackson memegang watak Michael Jackson dalam filem biopik itu.
- Jaafar membuat persediaan rapi dengan mengumpul rakaman lama termasuk YouTube untuk memahami perwatakan dan gaya hidup Michael.
- Filem arahan Antoine Fuqua dan terbitan Graham King mengangkat sisi sebenar serta perjalanan seni Michael Jackson.
- Jackie Jackson memuji lakonan Jaafar, berkata kadang-kadang dia lupa itu bukan adiknya.
Antara tumpuan utama ialah penampilan Jaafar Jackson yang memegang watak Michael Jackson, selain pelakon lain termasuk Joseph David-Jones, Juliano Krue Valdi dan Nia Long.
Jaafar berkata, dia membuat persediaan rapi dengan mengumpul pelbagai rakaman lama bagi memahami perwatakan serta gaya hidup bintang itu.
“Saya kumpulkan banyak rakaman video termasuk di YouTube dan sumber lain, bukan sahaja persembahan tetapi juga situasi santai untuk memahami dirinya secara mendalam,” katanya.
Anak saudara Michael Jackson itu turut berkongsi kenangan peribadi menyaksikan bapa saudaranya membuat persembahan di New York ketika kecil, yang disifatkannya sebagai pengalaman terbaik dalam hidup.
Sementara itu, Juliano Krue Valdi mengakui cabaran besar untuk membawa watak ikon dunia itu.
“Ia bukan mudah untuk memenuhi standard Michael Jackson yang sangat bekerja keras dan luar biasa,” katanya.
Nia Long pula berharap penonton dapat menghargai legasi seni yang ditinggalkan.
“Muziknya kekal relevan dan mampu menyatukan manusia di seluruh dunia. Itu mesej penting yang perlu kita hayati iaitu kasih sayang dan perpaduan,” katanya.
Filem arahan Antoine Fuqua dan terbitan Graham King itu dijangka membawa penonton mengenali sisi sebenar Michael Jackson, selain mengangkat perjalanan seni legenda berkenaan.
Turut hadir, anggota keluarga Jackson iaitu Jackie Jackson yang memuji lakonan Jaafar.
“Kadang-kadang saya lupa itu bukan adik saya, tetapi Jaafar. Dia memang luar biasa,” katanya.-REUTERS