
SAUDARA PENGARANG
- Pentingnya kemaskini kurikulum TVET agar seiring kehendak industri, khususnya kemahiran digital dan kebolehan insaniah.
- Perlu penyelarasan tadbir urus antara agensi dan kerjasama erat dengan sektor swasta untuk menjamin relevansi latihan.
- Ubah naratif masyarakat terhadap TVET sebagai pelaburan jangka panjang yang memberi maruah dan peluang ekonomi.
Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) semakin menonjol sebagai elemen penting dalam pembangunan modal insan negara. Dalam landskap pekerjaan yang dipacu teknologi, automasi dan digitalisasi, TVET bukan lagi laluan alternatif, tetapi strategi nasional untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, kompeten, dan berdaya saing.
Data menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan. Jumlah peserta TVET meningkat kepada 423,267 orang pada 2024 berbanding 407,000 orang pada 2023, manakala kadar kebolehpasaran graduan direkodkan sekitar 94.5 peratus. Beberapa agensi melaporkan kadar hampir 99 peratus di peringkat kolej vokasional, dengan graduan menerima tawaran pekerjaan sebelum tamat pengajian.
Statistik ini bukan sahaja menunjukkan keberkesanan latihan praktikal, malah mencerminkan keyakinan industri terhadap kemahiran graduan TVET. Namun, di sebalik angka positif ini, pelaksanaan TVET masih menghadapi beberapa cabaran yang perlu diberi perhatian.
Jurang Kemahiran dan Kehendak Industri
Salah satu cabaran utama ialah ketidakpadanan kemahiran antara apa yang diajar di institusi TVET dan keperluan sebenar pasaran kerja yang sentiasa berubah. Graduan mungkin mahir dalam kemahiran asas, tetapi kurang bersedia menghadapi teknologi terkini atau proses kerja yang lebih kompleks.
Ini menunjukkan bahawa kurikulum TVET perlu sentiasa dinamik dan responsif, termasuk penekanan pada kemahiran digital, komunikasi, penyelesaian masalah, dan kebolehan bekerja dalam pasukan. Elemen ini semakin penting kerana majikan kini menuntut bukan sahaja kemahiran teknikal tetapi juga kecekapan insaniah.
Struktur Tadbir Urus yang Berpecah
TVET di Malaysia diuruskan oleh pelbagai kementerian dan agensi, masing-masing dengan standard latihan dan pensijilan sendiri. Keadaan ini boleh menyukarkan penyelarasan dasar serta menyelaraskan latihan dengan kehendak industri.
Beberapa negara ASEAN telah memusatkan tadbir urus TVET melalui standard nasional yang jelas, memastikan latihan seiring dengan keperluan kompetensi global. Malaysia sedang bergerak ke arah pembaharuan seumpama itu, tetapi masih memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, penyedia latihan, dan sektor swasta untuk memastikan keberkesanan.
Persepsi Masyarakat terhadap TVET
Walaupun kebolehpasaran tinggi, persepsi sosial terhadap TVET masih menjadi cabaran. Ramai ibu bapa dan pelajar masih menganggap laluan akademik tradisional lebih tinggi nilainya.
Persepsi ini bukan sahaja membayangi keyakinan pelajar terhadap kerjaya mereka, tetapi juga menjejaskan minat generasi muda memilih laluan kemahiran sebagai strategi pembangunan diri yang bermaruah. Dalam konteks ini, TVET perlu dipromosikan bukan hanya sebagai jalan kerjaya, tetapi sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan individu dan komuniti.
Pulangan Ekonomi Graduan
Kebolehpasaran graduan TVET tinggi, tetapi pulangan ekonomi masih berbeza-beza. Sesetengah sektor menawarkan gaji kompetitif, namun ada graduan yang masih menerima upah rendah. Isu ini bukan sekadar statistik pekerjaan, tetapi realiti kehidupan belia yang memilih laluan kemahiran dengan harapan memperoleh kestabilan dan peluang mobiliti ekonomi jangka panjang.
Oleh itu, perhatian terhadap laluan kerjaya graduan, pengiktirafan kemahiran dan ganjaran ekonomi yang setimpal perlu diberi keutamaan.
TVET, Strategi Jangka Panjang
Dalam era Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital, TVET bukan lagi pilihan pendidikan alternatif. Ia merupakan strategi pembangunan modal insan yang mampu meningkatkan produktiviti, menyokong pertumbuhan ekonomi, dan menyumbang kepada pembangunan sosial yang inklusif.
Kejayaan TVET perlu dinilai berdasarkan kemampuan melahirkan graduan berkualiti, menyediakan peluang kerjaya dan pendapatan bermaruah, mengubah persepsi masyarakat terhadap pendidikan kemahiran, dan menyokong pembangunan sosial yang inklusif.
Menyokong Pendekatan Bersepadu
Pengukuhan TVET memerlukan pendekatan menyeluruh dan bersepadu. Penyelarasan dasar antara agensi, penglibatan industri, dan penyesuaian kurikulum secara berterusan perlu berjalan seiring agar latihan yang ditawarkan relevan dengan realiti pasaran kerja.
Selain itu, perubahan naratif terhadap TVET amat penting. Pendidikan kemahiran harus dilihat sebagai pelaburan jangka panjang, bukan sekadar penyelesaian segera kepada isu pengangguran. Pengiktirafan kemahiran, peluang kemajuan kerjaya, dan ganjaran ekonomi yang setimpal akan menjadi faktor penentu sama ada TVET mampu menarik dan mengekalkan bakat terbaik.
Masa Depan TVET: Harapan dan Realiti
Masa depan TVET bergantung kepada sejauh mana sistem ini mampu memberikan keyakinan, kestabilan, dan maruah kepada mereka yang memilih laluan kemahiran. Jika dilaksanakan secara konsisten, TVET berpotensi menjadi pemacu utama tenaga kerja berkemahiran tinggi, setara dengan standard global, dan meningkatkan daya saing negara.
Ke arah itu, semua pihak termasuk kerajaan, institusi latihan, industri, dan masyarakat perlu bersama-sama memainkan peranan dalam membina ekosistem TVET yang kukuh, inklusif, dan relevan dengan cabaran masa depan. Jika bukan sekarang, bila lagi?
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Fadilah Mat Nor
Pensyarah
Jabatan Ekonomi & Kewangan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan & Pengurusan
Universiti Islam Selangor
e-mel: fadilahmn@uis.edu.my

Siti Nurashidah Roslan
Pensyarah
Jabatan Pengurusan Perniaagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan & Pengurusan
Universiti Islam Selangor