UA disaran bergerak sebagai satu entiti di bawah RPTM, hadapi cabaran global

Graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen UMK Ke-15 di Kampus Bachok pada 10 November 2025/Fail BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua Universiti Awam perlu bergabung sebagai satu entiti untuk mengharungi cabaran global dan memperkukuh pendidikan tinggi negara.
  • RPTM 2026-2035 menekankan integrasi AI, keterangkuman akses dan pembangunan bakat berorientasi kemanusiaan serta kebolehan global.
  • Kerjasama erat antara kerajaan, institusi, industri dan masyarakat penting untuk menjayakan pelan dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 merupakan satu pelan hala tuju utama pembangunan pendidikan tinggi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang yang digubal oleh kerajaan MADANI.

Ia menjadi satu kesinambungan dan pengganti kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dan merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hinggalah pendidikan tinggi.

Peluncuran RPTM 2026-2035 disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai satu iltizam kerajaan MADANI memperkukuhkan sistem pendidikan berkualiti, menjadi lebih terangkum dan mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), RPTM 2026-2035 dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar melibatkan 181 pakar pendidikan tempatan dan 8,226 pihak berkepentingan terdiri daripada sarjana, tokoh akademik, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta, pihak industri dan wakil masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Hasilnya, lahirkan RPTM 2026-2035 bersifat “dokumen hidup” yang dinamik iaitu fleksibel dan responsif (living document) terhadap perubahan landskap global serta mengambil kira kemajuan teknologi yang membawa perubahan besar kepada kehidupan pada hari ini.

Fokus Utama RPTM 2026-2035

Fokus utama pelan pendidikan tinggi ini adalah pembangunan bakat pembina negara (nation-builders) yang didorong oleh matlamat, berdaya tahan dan berpaksi kepada nilai kemanusiaan sejagat (humanity-centric).

Integrasi teknologi dan kecerdasan buatan atau artifical intelligence (AI) sebagai pemboleh daya dalam kurikulum dan penyelidikan pula, bermatlamat melahirkan pencipta teknologi masa hadapan ternyata sangat signifikan dan penting dalam pendidikan generasi muda yang celik teknologi.

Pelan ini turut mementingkan keterangkuman akses dengan usaha memperluas pendidikan tinggi serta memperkasa peranan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan serantau selain meningkatkan usaha memperkukuh bahasa, kemahiran pelbagai bahasa dan kompentensi global.

RPTM 2026-2035 menampilkan sepuluh bidang tujahan seperti pelajar berpaksikan kemanusiaan, bercirikan keusahawanan dan adaptif serta bakat berprestasi tinggi dipacu matlamat, pemerkasaan kompetensi Pendikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lanjutan, kemampanan kewangan, tadbir urus tangkas dan berdaya tahan.

Tujahan seterusnya adalah mengukuhkan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersilan dan Ekonomi Negara (RDICE) yang bertanggungjawab, meningkatkan keunggulan global, membina pendidikan fleksibel dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat serta kelestarian dan kesihatan alam sekitar, kemampanan dan penyampaian responsif serta dinamik.

Manakala, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang diterajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula akan menjadi rujukan asas pembangunan pendidikan dalam negara melalui tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi, dengan penekanan kepada peningkatan akses dan kualiti pendidikan, pembangunan potensi murid, transformasi pendidik, pemantapan prasarana dan infostruktur, tindakan bersama pemegang taruh serta pengukuhan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian.

Dengan nada penuh yakin, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh melihat pelan baharu pendidikan tinggi negara ini sangat dinantikan oleh warga akademik, pemegang taruh sektor pendidikan negara dan Universiti Awam (UA) serta swasta di Malaysia.

Ini kerana, RPTM 2026-2035 merupakan satu wawasan merentas masa hadapan yang dirangka untuk menjangka perubahan-perubahan landskap global pada hari ini dan akan datang yang mampu menangkis cabaran-cabaran sama ada bersifat struktur, teknologi dan sosioekonomi yang semakin kompleks.

Ia menjadi kompas baharu kepada UA dan swasta untuk kekal relevan, berdaya saing dan berupaya melahirkan modal insan berpengetahuan, tangkas, beretika dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan masa hadapan yang menjadi ciri unik RPTM 2026-2035.

Dalam kalangan warga UKM sendiri, mereka hala tuju ini sebagai kesinambungan pelan-pelan pendidikan tinggi terdahulu tetapi lebih moden dan terkini. Ada juga yang menganggapnya sebagai suatu lonjakan holistik yang jelas dan praktikal untuk semua pihak terlibat dalam sektor pendidikan tinggi negara.

Pelaksanaan RPTM 2026–2035 dan RPM 2026–2035 secara bersepadu di bawah Rangka Pelan Nasional (RPN) 2026–2035 mencerminkan keselarasan dasar pendidikan negara menyeluruh dan berfasa bagi memastikan kesinambungan pembangunan modal insan daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.

Bagi Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed pula, pelaksanaan secara bersepadu ini merupakan pendekatan strategik yang signifikan bagi menangani jurang peralihan antara pendidikan rendah dan tinggi.

Jelas beliau, penyelarasan dasar yang konsisten ini dapat memastikan pelajar memasuki universiti dengan asas kemahiran, nilai dan kesiapsiagaan selari dengan keperluan pendidikan tinggi negara dan tuntutan masa hadapan. RPTM 2026-2035 memberi ruang fleksibel kepada UA meningkatkan peranan sebagai pemacu pembangunan ilmu, inovasi dan pembangunan komuniti.

Dalam konteks UUM, pelan ini menjadi kerangka penting bagi memperkasakan lagi pendidikan berteraskan pengurusan, tadbir urus dan keusahawanan sejajar dengan mandat universiti bagi melahirkan graduan berdaya saing, kalis masa hadapan dan beretika di peringkat nasional dan antarabangsa.

Kejayaan pelaksanaan pelan ini menuntut kerjasama erat pelbagai pihak iaitu kerajaan, kementerian, institusi pendidikan, pihak industri dan seluruh rakyat untuk sama-sama mendukung dan menjayakan RPTM 2026-2035 ini.

Kerjasama ini akan memperkasa ekosistem pendidikan negara apabila setiap dasar yang ditetapkan dapat diterjemah secara berkesan di peringkat pelaksanaan dan akhirnya, Malaysia dapat melahirkan modal insan mampan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pantas bukan sahaja peringkat domestik tetapi global.

Semua UA Perlu Bergerak Sebagai Satu Entiti

Oleh itu, formula terbaik meningkatkan bidang pendidikan tinggi negara adalah menggerakkan semua rangkaian UA sebagai satu entiti dalam menempuh cabaran global, walaupun setiap UA mempunyai kepakaran berbeza dan bidang tumpuan yang tersendiri. Ibaratnya, andai petani saling bergantung, tanah gersang menjadi kebun. Andai nakhoda belayar sendiri, bahtera sepi menempuh tsunami.

Gabungan sinergi dan kepakaran semua Universiti Awam ini di bawah satu pelan hala tuju holistik, membolehkan penghasilan program-program pembelajaran baharu berimpak besar yang inovatif, bervariasi serta praktikal. Program sebegini pastinya mampu menarik minat banyak pihak termasuk rakan antarabangsa, sekaligus mendukung secara kolektif beberapa tujahan dalam RPTM 2026-2035 itu sendiri.

Sebagai contoh, jika Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) boleh berbangga dengan ilmu Pendidikan dan Latihan Guru, UUM mendominasi ilmu Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan ilmu Sains Pertanian serta Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendahului dalam Sains Marin dan Perikanan.

UKM juga tidak kurang hebatnya dengan mencatat kedudukan nombor satu di Malaysia dalam Times Higher Education by World University Rankings by Subject 2025, untuk subjek Undang-undang dan beberapa subjek dalam bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Ini juga termasuk beberapa subjek yang tersenarai dalam kelompok 200 terbaik dunia seperti Kejuruteraan, Teknologi dan Sains Maklumat serta Farmasi. Selain itu, 50 tahun perjuangan memartabatkan bahasa Melayu yang didukung oleh UKM merupakan usaha yang tidak boleh dipandang ringan. Paling penting, hampir kesemua bidang pengajian yang disebut di atas boleh memanfaatkan sentuhan teknologi AI untuk menjadikannya lebih bernilai.

Justeru, jika semua UA yang mempunyai keistimewaan masing-masing digabung jalin di bawah hala tuju baharu ini, ia pasti dapat menghasilkan program-program yang mencabar kelaziman dalam sistem pendidikan tinggi di negara ini.

Jika kita biasa mendengar program Ijazah Berkembar bersama universiti luar negara, barangkali kita boleh menganjak paradigma dengan mengadakan program ijazah AI antara universiti dalam kalangan UA di negara ini berbekalkan kerangka dan acuan yang sama.

Sebagai contoh, program Sastera Liberal merupakan antara program akademik yang boleh dikembangkan dengan menggabung jalin kursus-kursus berteraskan AI dari pelbagai UA yang ada di Malaysia.

Lebih menarik jika UA dapat membangun Program Ijazah Berkembar antara universiti tempatan yang baharu dan segar yang boleh ditawarkan melalui saluran pembelajaran sepanjang hayat. Semua ini tidak mustahil jika semua UA sederap selangkah dan bergabung tenaga kerana pada akhirnya, kita semua menyantuni pemegang taruh yang sama.

Menerusi usaha kolektif semua UA ini, pemerkasaan program akademik berdaya tahan, jaringan industri dan hubungan global dapat dihasilkan dengan lebih agresif.

Selain itu, keunikan dimiliki oleh seluruh komuniti UA Malaysia boleh dimanfaatkan sepenuhnya sebagai asas kreativiti dalam setiap produk ilmiah lebih moden dan beradaptasi yang membolehkan usaha pemantapan modal insan sentiasa dilestarikan agar produk universiti tempatan terus mengukir kejayaan membanggakan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dengan gabungan aspirasi berkesinambungan dan teguh dari seluruh keluarga UA Malaysia, satu pendidikan berkualiti boleh disediakan kepada rakyat Malaysia dan warga global selain dapat memacu penyelidikan dan inovasi. Apabila UA bergerak sebagai satu entiti, ia sekaligus dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan serta mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan tersohor dunia.

Sebagai penutup, penyampaian gagasan RPTM 2026-2035 perlu sampai ke akar umbi dengan semua UA bertindak sebagai pencetus dalam menyebarluaskan agenda yang telah dipersetujui. Kesediaan UA Malaysia menyambut baton yang diberi bukan sekadar melepas batuk di tangga, tetapi penuh komitmen untuk mencapai matlamat demi kepentingan negara dan rakyat seluruhnya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof. Madya Dr. Azianura Hani Shaari
Timbalan Pengarah, Pusat Komunikasi Korporat
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
e-mel: azianura@ukm.edu.my


Khairul Anuar Abdul Malik
Felo Universiti
Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi
Universiti Utara Malaysia
e-mel: k.anuar.abdul@uum.edu.my