Kita bangga menjadi ‘Asian parents’, mengapa menolak cara didikan guru

Gambar hiasan janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Nilai disiplin dan ketegasan memberi kebaikan, tetapi pembentukan kini perlu melalui penerangan, dialog dan teladan.
  • Ibu bapa sering membela anak tanpa faham keseluruhan keadaan, menjejaskan kemampuan anak menerima teguran dan tanggungjawab.
  • Bezakan disiplin berhemah dengan penderaan; guru mesti profesional, berhemah dan menghormati maruah pelajar.
  • Kekalkan nilai terbaik budaya itu sambil menyesuaikan ketegasan dengan empati untuk membina generasi berdaya tahan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, istilah Asian parents semakin kerap diperkatakan di media sosial. Ada yang menggunakannya sebagai bahan jenaka, ada yang menjadikannya simbol kejayaan dan tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan trauma zaman kanak-kanak.

Hakikatnya, istilah ini bukan sekadar merujuk kepada ibu bapa di Asia, tetapi menggambarkan satu pendekatan keibubapaan yang menekankan disiplin, kerja keras, pencapaian akademik, penghormatan kepada orang tua dan pengorbanan demi masa depan anak.

Persoalannya, jika pendekatan ini begitu dihargai sehingga dianggap mampu melahirkan individu yang berjaya, mengapa semakin ramai ibu bapa hari ini tidak mahu guru mendidik anak mereka dengan nilai yang sama?

Masyarakat sering memuji kejayaan anak yang mendapat keputusan cemerlang, berjaya memasuki universiti ternama atau memperoleh kerjaya yang membanggakan.

Apabila ditanya rahsianya, jawapan yang sering diberikan ialah didikan ibu bapa yang tegas, berdisiplin dan tidak pernah berkompromi dengan sikap malas.

Namun apabila anak ditegur oleh guru kerana tidak menyiapkan tugasan, bersikap biadab atau melanggar disiplin sekolah, sebahagian ibu bapa pula segera tampil mempertahankan anak tanpa terlebih dahulu memahami keseluruhan keadaan. Di sinilah wujud satu paradoks yang semakin membimbangkan.

Kita tidak boleh menafikan bahawa banyak nilai dalam pendekatan Asian parents sebenarnya sangat baik. Disiplin membentuk tanggungjawab. Ketegasan mengajar anak menghormati peraturan. Harapan yang tinggi pula mendorong mereka untuk berusaha lebih gigih.

Nilai-nilai ini telah menjadi asas kepada pembentukan ramai individu yang berjaya dalam pelbagai bidang. Malah, masyarakat sendiri masih menganggap disiplin, adab dan kesungguhan sebagai ciri utama seorang insan yang berjaya.

Namun persoalannya bukan lagi tentang nilai tersebut, tetapi tentang kesanggupan kita untuk menerima proses pembentukannya.

Generasi Z hari ini membesar dalam dunia yang jauh berbeza daripada generasi ibu bapa mereka. Mereka hidup dalam era digital yang memberi ruang untuk bersuara, bertanya dan mencabar sesuatu pandangan.

Mereka lebih terdedah kepada perbincangan mengenai hak individu, kesihatan mental dan kesejahteraan emosi.

Perubahan ini bukanlah sesuatu yang negatif. Sebaliknya, ia mengingatkan kita bahawa disiplin pada hari ini tidak lagi boleh dibina hanya melalui arahan, tetapi juga melalui penerangan, dialog dan teladan.

Namun begitu, perubahan ini tidak bermaksud segala bentuk ketegasan perlu dihapuskan daripada proses pendidikan.

Malangnya, dalam usaha melindungi emosi anak, ada ibu bapa yang secara tidak sedar telah menghapuskan ruang untuk anak belajar menerima teguran.

Setiap kali guru menegur, guru dipersoalkan. Setiap kali guru menghukum mengikut peraturan sekolah, guru dituduh terlalu keras. Sedangkan dalam kehidupan sebenar, dunia pekerjaan tidak akan sentiasa memberikan pujian.

Masyarakat juga tidak akan sentiasa bertolak ansur terhadap kesilapan. Jika anak tidak dibiasakan menerima teguran sejak di bangku sekolah, bagaimana mereka akan menghadapi realiti kehidupan apabila dewasa?

Ini tidak bermaksud semua tindakan guru sentiasa betul. Guru juga manusia yang boleh melakukan kesilapan dan perlu sentiasa bertindak secara profesional, berhemah serta menghormati maruah pelajar.

Hukuman yang menjatuhkan harga diri, penghinaan terbuka atau keganasan fizikal tidak pernah wajar dipertahankan.

Namun kita juga perlu membezakan antara penderaan dengan disiplin. Teguran yang berhemah, tindakan berdasarkan peraturan sekolah dan usaha membentuk tingkah laku tidak sepatutnya disamakan dengan layanan yang menindas.

Hakikat yang sering dilupakan ialah ibu bapa dan guru sebenarnya mempunyai matlamat yang sama. Kedua-duanya mahu melihat anak membesar menjadi insan yang berjaya, berakhlak dan mampu hidup berdikari.

Namun apabila ibu bapa melihat guru sebagai pihak yang tidak boleh menegur, manakala guru pula sentiasa bimbang setiap tindakannya akan dipersoalkan, hubungan yang sepatutnya saling melengkapi bertukar menjadi hubungan yang dipenuhi rasa curiga.

Akhirnya, yang menjadi mangsa ialah anak itu sendiri kerana menerima mesej yang bercanggah antara rumah dan sekolah.

Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti menggunakan istilah Asian parents sebagai satu label yang perlu dipertahankan atau ditolak sepenuhnya. Apa yang lebih penting ialah mengekalkan nilai-nilai terbaik daripada budaya tersebut sambil menyesuaikannya dengan keperluan generasi hari ini.

Anak-anak masih memerlukan disiplin, tetapi disiplin yang disampaikan dengan hikmah. Mereka masih memerlukan ketegasan, tetapi ketegasan yang disertai empati.

Mereka masih perlu belajar menerima kegagalan, tetapi dalam masa yang sama mengetahui bahawa kasih sayang ibu bapa dan guru tidak pernah bergantung kepada keputusan peperiksaan semata-mata.

Masyarakat perlu sedar bahawa membina generasi yang berdaya tahan bukan sekadar dengan melindungi mereka daripada setiap kesukaran, tetapi dengan membimbing mereka menghadapi kesukaran itu secara matang.

Anak yang tidak pernah ditegur mungkin membesar dengan keyakinan yang rapuh. Anak yang tidak pernah menerima akibat daripada kesilapannya mungkin sukar belajar tentang tanggungjawab.

Sebaliknya, anak yang dididik dengan keseimbangan antara kasih sayang dan disiplin akan lebih bersedia menghadapi cabaran kehidupan yang sebenar.

Akhirnya, persoalan yang perlu kita renungkan bukanlah sama ada kita mahu menjadi Asian parents atau tidak. Persoalan yang lebih besar ialah, adakah kita benar-benar bersedia membentuk anak yang berdisiplin jika kita sendiri menolak setiap individu yang cuba membantu proses pembentukan itu?

Jika di rumah kita mengajar anak menghormati guru, tetapi apabila guru menegur kita segera menyalahkannya, apakah nilai sebenar yang sedang kita wariskan kepada generasi akan datang?

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Mohd Yusof Zulkefli
Penyelaras Pengajian Liberal/Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Shah Alam
E-mel: yusofzulkefli@uitm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.