
SAUDARA PENGARANG
- Isu kesihatan mental mengancam modal insan negara dan boleh menjejaskan produktiviti serta pembangunan ekonomi.
- Peningkatan kes dalam kalangan generasi muda memerlukan intervensi awal, rawatan cepat dan usaha mengurangkan stigma masyarakat.
- Pendekatan menyeluruh diperlukan; keluarga, sekolah, majikan, media dan talian bantuan krisis mesti diperkuat dan diperluas.
Pendedahan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen bahawa beban ekonomi akibat masalah kesihatan mental di Malaysia dianggarkan mencecah RM25.3 bilion menjelang 2030 wajar dipandang serius oleh semua pihak. Justeru, tindakan berkesan perlu diambil segera bagi menangani isu tersebut.
Tambahan pula kadar kemurungan dalam kalangan penduduk Malaysia berumur 16 tahun ke atas dilaporkan meningkat daripada 2.3 peratus pada 2019 kepada 4.6 peratus pada 2023 bersamaan kira-kira 1 juta orang telah terkesan dengan isu kesihatan mental ini.
Jelas sekali masalah kesihatan mental wajar dilihat sebagai krisis yang mula mengancam modal insan negara sekali gus boleh menjejaskan tahap produktiviti serta pembangunan negara.
Apa yang pasti, masalah kesihatan mental bukan lagi sekadar isu perubatan atau kebajikan sosial, sebaliknya telah menjadi cabaran pembangunan negara yang memerlukan perhatian segera.
Harus diingat, kita mungkin memiliki infrastruktur moden, ekonomi yang berkembang dan teknologi yang semakin canggih. Namun semua kemajuan ini boleh terjejas sekiranya rakyat yang menjadi penggerak pembangunan berdepan masalah kesihatan mental yang semakin membimbangkan.
Statistik yang didedahkan tidak boleh dilihat sekadar angka dapatan kajian, sebaliknya anggota masyarakat perlu memahami kisah bebanan sebahagian anggota masyarakat yang sedang bergelut dengan tekanan emosi, kebimbangan, keletihan mental dan hilang motivasi untuk meneruskan kehidupan seharian.
Jika keadaan ini berterusan, kesannya bukan sahaja dirasai oleh individu dan keluarga, malah turut menjejaskan produktiviti serta daya saing negara.
Hakikatnya, modal insan merupakan aset paling berharga sesebuah negara. Kemajuan ekonomi, pembangunan sosial dan kestabilan masyarakat bergantung kepada kualiti rakyat yang menjadi pemacu utama pembangunan.
Ironinya, modal insan yang berkualiti bukan hanya diukur melalui tahap pendidikan, kemahiran atau pencapaian akademik semata-mata.
Kesejahteraan mental juga wajar diangkat sebagai komponen penting yang menentukan keupayaan seseorang untuk berfikir secara rasional, membuat keputusan yang baik, berinovasi dan menyumbang secara produktif kepada organisasi serta negara.
Maka, apabila kesihatan mental terjejas, produktiviti pastinya akan menerima kesan yang signifikan. Secara mudahnya, seorang pekerja yang mengalami tekanan atau kemurungan akan berdepan kesukaran untuk memberi tumpuan, mengekalkan motivasi dan melaksanakan tugas secara optimum.
Dalam banyak keadaan, mereka mungkin hadir ke tempat kerja, namun tidak mampu berfungsi pada tahap terbaik. Fenomena ini dikenali sebagai “presenteeism”, iaitu kehadiran fizikal tanpa produktiviti yang sewajarnya.
Keadaan ini akhirnya menyebabkan organisasi menanggung kerugian akibat penurunan prestasi, peningkatan rekod ketidakhadiran dan kos pengurusan yang lebih tinggi. Apabila situasi tersebut berlaku secara meluas, produktiviti nasional turut terkesan dan memberi implikasi kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Justeru, unjuran kerugian RM25.3 bilion menjelang 2030 perlu dilihat sebagai amaran awal bahawa kesihatan mental mempunyai impak langsung terhadap kesejahteraan ekonomi negara.
Lebih membimbangkan kita ialah peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan generasi muda. Golongan kanak-kanak dan remaja hari ini merupakan pemimpin, profesional, penyelidik dan tenaga kerja yang akan menentukan masa depan negara pada masa hadapan.
Namun, peningkatan tekanan akademik, pengaruh media sosial, ketidaktentuan ekonomi, cabaran hubungan sosial dan pelbagai tuntutan kehidupan moden menjadikan mereka semakin terdedah kepada masalah kesihatan mental.
Justeru, jika ancaman ini tidak ditangani secara berkesan, negara berisiko kehilangan potensi bakat yang sepatutnya menjadi pemacu pembangunan pada masa hadapan.
Individu yang berpotensi tinggi mungkin gagal mencapai kecemerlangan bukan kerana kekurangan kebolehan atau peluang, tetapi akibat tekanan mental yang tidak ditangani sejak awal.
Dalam hal ini, cabaran terbesar kita pada ketika ini ialah perlu menghapuskan persepsi dan stigma masyarakat terhadap isu kesihatan mental. Masih ramai yang menganggap individu yang mendapatkan bantuan psikologi sebagai lemah atau tidak mampu mengurus kehidupan sendiri.
Pandangan serong seperti ini menyebabkan ramai memilih untuk memendam masalah dan enggan mendapatkan bantuan profesional.
Masyarakat perlu memahami bahawa kesihatan mental adalah sebahagian daripada kesihatan keseluruhan seseorang individu. Sama seperti penyakit fizikal lain yang memerlukan rawatan, masalah kesihatan mental juga memerlukan perhatian dan intervensi yang sewajarnya.
Lebih awal bantuan diberikan, lebih tinggi peluang untuk individu pulih dan kembali berfungsi secara produktif.
Pada masa yang sama, pendekatan menangani isu ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu sektor kesihatan. Sebaliknya, memerlukan penglibatan menyeluruh pelbagai pihak.
Misalnya, institusi keluarga perlu menjadi sistem sokongan pertama yang menyediakan persekitaran selamat untuk ahli keluarga berkongsi masalah dan mendapatkan sokongan emosi.
Institusi pendidikan pula wajar bertindak lebih proaktif dengan memperkukuh program kesejahteraan mental, memperluas akses kepada kaunselor serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar.
Majikan juga perlu fokus kepada kesejahteraan warga kerja dengan mewujudkan budaya kerja yang lebih sihat melalui amalan keseimbangan antara kerja dan kehidupan, selain menyediakan program sokongan psikologi kepada pekerja.
Malah, pihak media juga boleh memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat. Pelaporan yang beretika dan bertanggungjawab mampu meningkatkan kefahaman awam serta mengurangkan stigma terhadap individu yang mengalami masalah kesihatan mental.
Dalam hal ini, cadangan untuk memperketat etika pelaporan media seperti yang dikemukakan oleh jawatankuasa tersebut merupakan langkah yang wajar disokong.
Selain itu, usaha memperluas kapasiti talian bantuan krisis dan memperhebat kempen antistigma perlu diteruskan secara konsisten agar bantuan dapat diakses oleh lebih ramai individu yang memerlukan.
Tuntasnya, kesihatan mental perlu dilihat sebagai pelaburan strategik negara dan bukannya sekadar kos perbelanjaan kesihatan. Negara yang ingin maju dan berdaya saing memerlukan rakyat yang bukan sahaja sihat dari segi fizikal, tetapi juga stabil dari segi emosi dan psikologi.
Dalam era persaingan global yang semakin mencabar, kekuatan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi atau kecanggihan teknologi semata-mata. Sebaliknya, ia terletak pada keupayaan membangunkan modal insan yang sejahtera, berdaya tahan dan produktif.
Justeru, menangani krisis kesihatan mental bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan mendesak demi memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan secara mampan dan inklusif untuk generasi hari ini dan masa hadapan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
E-mel: nmohd77@upm.edu.my