Akta baharu SPRM, langkah strategik cegah seleweng dana awam

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Akta Kebajikan untuk menghalang penyalahgunaan dana sumbangan, menahan penipuan NGO dan pempengaruh media sosial yang mengutip secara tidak jujur.
  • Akta Misconduct in Public Office menjadikan salah laku penjawat awam kesalahan jenayah jelas bagi mengurangkan ketirisan dan meningkatkan integriti perkhidmatan awam.
  • Akta Pendanaan Politik diperlukan untuk mendedahkan sumbangan dan pinjaman politik, mencegah konflik kepentingan dan rasuah berskala besar.

Inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan sekurang-kurangnya tiga akta baharu digubal untuk memastikan kelompongan dalam isu pendanaan awam bakal menjadi langkah strategik mencegah penyelewengan dana awam di negara ini.

Tiga akta tersebut adalah, Akta Misconduct in Public Office, Akta Kebajikan atau Charities Act dan Akta Pendanaan Politik atau Political Funding Act. Ketiga-tiga akta ini dijangka dibentangkan kepada kerajaan seawal September ini.

Usaha ini membuktikan SPRM terus bergerak secara proaktif dan agresif bagi menguatkuasakan undang-undang, mendidik masyarakat dan mencegah penyelewengan dana awam.

Antara akta yang menarik perhatian adalah Akta Kebajikan yang bakal digubal sebagai usaha serius ke arah mencegah penyalahgunaan dana hasil derma awam oleh mereka yang menggelar diri mewakili NGO, mengutip wang kononnya untuk disalurkan kepada pihak kurang bernasib baik.

Hal ini cukup signifikan kerana sejak kebelakangan ini negara dikejutkan dengan pendedahan salah laku beberapa NGO yang didapati menyeleweng dana sumbangan orang ramai.

Ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan ramai yang mengambil kesempatan berselindung di sebalik topi NGO kebajikan dan menggunakan dana diterima untuk pelbagai tujuan peribadi lain.

Malah lebih mengejutkan apabila ada dalam kalangan pengurusan NGO berjaya mencipta kekayaan luar biasa secara mudah dan cepat menggunakan modus operandi kutipan dana kebajikan.

Trend terkini juga semakin membimbangkan apabila didedahkan wujud pempengaruh media sosial dikesan aktif mengutip dana dan infak daripada orang ramai, kononnya untuk disalurkan bagi tujuan kebajikan.

Misalnya, sudah ada kelompok yang meraih kekayaan mudah dan cepat hanya dengan memohon sumbangan orang ramai menerusi sesi siaran langsung atau live di platform media sosial. Permainan emosi mereka mula menjerat anggota masyarakat yang ikhlas ingin menyalurkan bantuan.

Ancaman penyelewengan kewangan seperti ini dikesan semakin berleluasa, malah satu sesi live kononnya untuk membantu golongan miskin atau mangsa perang, dengan mudah boleh menarik sumbangan yang dipercayai masuk ke kocek sendiri.

Malah ada kelompok scammer juga dilihat mula mengambil kesempatan dengan menggunakan taktik yang sama sehingga mengelirukan orang ramai.

Jadi pewujudan akta ini bukan saja membolehkan pihak kerajaan dapat mengawal sebarang perlakuan penyelewengan yang boleh berlaku dalam kalangan mereka yang terlibat dalam aktiviti pengumpulan dana awam, malah boleh melindungi rakyat dari terus menjadi mangsa penipuan terancang.

Akta ini juga akan meningkatkan keyakinan rakyat untuk menyalurkan sumbangan kepada pihak yang betul dan telus menguruskan dana kutipan, khususnya disalurkan kepada pihak yang memerlukan bantuan.

Selain itu, akta berkaitan salah laku dalam jawatan awam pula dilihat mampu mencegah setiap kelakuan tidak wajar dalam kalangan penjawat awam yang membuka ruang kepada kesalahan jenayah lebih serius.

Akta khusus bagi menangani isu ketirisan dan salah laku dana yang sepatutnya sampai kepada rakyat dilihat mampu menjadikan pelbagai bentuk penyelewengan atau kecuaian dilakukan kakitangan kerajaan terhadap dana awam sebagai kesalahan jenayah yang jelas.

Ini sekali gus boleh mencegah pelbagai kes ketirisan dan salah laku yang biasa didedahkan melalui Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Akta ini diyakini boleh meningkatkan tahap kesedaran, ketakutan, integriti dan tanggungjawab penjawat awam terhadap kepentingan menjaga amanah dan mengurus dana awam dengan lebih teliti, telus, cekap dan efisien.

Hakikatnya, masalah integriti membabitkan segelintir penjawat awam yang tamak dan salah guna kuasa tidak boleh terus dibiarkan kerana mula menjejaskan imej dan reputasi kerajaan selain dikhuatiri boleh berjangkit kepada rakan mereka yang lain.

Justeru penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dan ketat sangat perlu supaya kita boleh mencegah dan menoktahkan segera perlakuan sumbang daripada terus berleluasa, malah boleh membantu memutuskan rantaian amalan ini di setiap agensi yang terlibat.

Akta Pendanaan Politik adalah reformasi politik yang lama tertangguh dan sudah tiba masanya pihak kerajaan menyegerakan penggubalan akta ini agar kita boleh mencegah dan menghalang rasuah berskala besar atau grand corruption yang merugikan negara daripada terus berlaku.

Ironinya rakyat semakin celik dan mahu melihat perubahan yang besar sekali gus menuntut keperluan untuk mendedahkan sumbangan dan pinjaman politik bagi mencegah konflik kepentingan, rasuah dan pengaruh tidak wajar dalam politik.

Justeru diharap agar semua ahli politik akan menyokong akta ini sebagai bukti menzahirkan komitmen menyokong agenda pembanterasan rasuah yang dipelopori secara serius oleh Perdana Menteri sendiri.

Penggubalan undang-undang ini dengan segera akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan selain mengembalikan imej ahli politik di mata rakyat.

SPRM dilihat sudah memulakan langkah awal dengan mengadakan pelbagai sesi libat urus. Justeru apa yang penting sekarang ialah semua pihak yang terlibat baik secara langsung atau tidak langsung perlu menyokong penuh usaha SPRM itu.

Ia agar akta yang dicadangkan dapat digubal dan dibentangkan dengan segera sebelum diluluskan dan dapat diguna pakai.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Noor Mohamad bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia