Mengajar tanpa suara, hanya tangan berbicara

Foto Janaan AI

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Guru pekak mengajar bahasa isyarat sebagai bahasa, identiti dan suara komuniti pekak.
  • BIM diiktiraf penting untuk pendidikan, komunikasi dan hubungan antara komuniti pekak dan bukan pekak.
  • Guru pekak wajar menjadi pengajar utama kerana mereka hidup bersama bahasa dan budaya isyarat.
  • Pembelajaran BIM mengajar inklusiviti; masyarakat perlu belajar asas bahasa isyarat untuk memahami dan menghargai komuniti pekak.

Setiap kali Hari Guru diraikan, kita sering teringat kepada guru yang mengajar kita membaca, menulis dan mengira.

Kita mengenang guru yang berdiri di hadapan kelas dengan suara yang jelas, menulis di papan putih dan menerangkan satu demi satu ilmu kepada anak muridnya.

Namun, ada satu kelompok guru yang mengajar dengan cara yang berbeza. Mereka tidak mengajar dengan suara tetapi mengajar dengan tangan, mata, ekspresi wajah dan seluruh jiwa.

Mereka ialah guru pekak yang mengajar bahasa isyarat.

Bagi komuniti pekak, bahasa isyarat bukan sekadar gerakan tangan. Ia ialah bahasa. Ia ialah identiti. Ia ialah suara.

Orang pekak menggunakan mata untuk “mendengar” dan tangan sebagai suara mereka. Melalui tangan, mereka berbicara. Melalui mata, mereka memahami. Melalui ekspresi wajah, mereka menyampaikan perasaan, maksud dan emosi.

Pengalaman penulis yang pernah terlibat dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), telah banyak membuka mata tentang dunia pekak.

Penulis belajar bahawa bahasa isyarat bukan hanya tentang menghafal isyarat untuk perkataan tertentu. Ia lebih besar daripada itu. Ia berkait rapat dengan budaya, cara hidup, pengalaman dan maruah komuniti pekak itu sendiri.

Di Malaysia, terdapat pelbagai bentuk bahasa isyarat yang muncul daripada latar negeri, budaya dan komuniti yang berbeza. Ada yang pernah menggunakan Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM), ada bentuk komunikasi isyarat menyeluruh dan ada juga variasi isyarat yang digunakan dalam komuniti tertentu.

Namun, Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi bagi orang pekak di Malaysia.

BIM menjadi bahasa yang penting dalam pendidikan, komunikasi, latihan dan hubungan antara masyarakat pekak dengan masyarakat bukan pekak.

Jika kita benar-benar mahu menerima orang Pekak sebagai sebahagian daripada warga Malaysia, maka kita tidak boleh hanya meminta mereka menyesuaikan diri dengan dunia kita.

Kita juga perlu berusaha memahami dunia mereka. Salah satu langkah paling asas ialah mempelajari bahasa isyarat, sekurang-kurangnya pada peringkat asas.

Hari ini, semakin banyak syarikat dan organisasi mula menyedari kepentingan Bahasa Isyarat Malaysia. Ada yang mengambil inisiatif mengadakan kelas BIM untuk pekerja mereka melalui bimbingan MFD.

Ada juga organisasi lain yang turut menawarkan kelas bahasa isyarat kepada masyarakat. Perkembangan ini wajar dipuji kerana ia menunjukkan kesedaran bahawa komunikasi inklusif bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan.

Namun, dalam keghairahan masyarakat belajar bahasa isyarat, satu perkara penting tidak boleh dilupakan.

Sebaik-baik guru bahasa isyarat ialah daripada golongan pekak itu sendiri. Ini disebabkan mereka bukan sekadar mengetahui bahasa tersebut tetapi mereka hidup bersama bahasa itu.

Mereka memahami maksud di sebalik setiap isyarat, budaya di sebalik setiap gerakan dan perasaan di sebalik setiap ekspresi.

Mengajar bukan tugas yang mudah. Seorang guru perlu memastikan pelajarnya faham, ingat, mampu menggunakan ilmu dan mengamalkannya dalam kehidupan sebenar.

Cabaran ini turut dirasai oleh guru pekak yang mengajar pelajar bukan pekak. Bayangkan seorang guru pekak berdiri di hadapan pelajar yang tidak mempunyai asas bahasa isyarat langsung.

Pelajar mungkin keliru dengan bentuk tangan, arah pergerakan, ekspresi muka dan struktur ayat dalam BIM. Ada pelajar yang mudah lupa isyarat yang baru dipelajari.

Ada yang tahu bentuk tangan tetapi lupa ekspresi wajah. Ada yang ingat perkataan tetapi tidak memahami budaya di sebaliknya.

Bagi guru pekak, cabarannya bukan sekadar mengajar isyarat. Mereka juga perlu mencari jalan untuk menerangkan maksud sesuatu perkataan dalam bahasa Melayu yang mungkin tiada padanan langsung dalam kamus bahasa isyarat.

Ada konsep yang mudah disebut dalam bahasa lisan tetapi sukar diterjemahkan dalam bentuk isyarat. Dalam keadaan ini, guru pekak perlu kreatif. Mereka menggunakan contoh, lakonan, ekspresi, situasi harian dan pengulangan supaya pelajar benar-benar faham.

Di sinilah terserlah hebatnya seorang guru Pekak. Mereka mungkin tidak menggunakan suara seperti guru lain tetapi mereka mengajar dengan penuh kesabaran.

Mereka mungkin tidak meninggikan suara untuk menarik perhatian pelajar tetapi mereka menggunakan mata, tangan dan wajah untuk menyampaikan ilmu.

Mereka mengajar kita bahawa komunikasi bukan hanya berlaku melalui bunyi. Komunikasi juga berlaku melalui perhatian, kesungguhan dan keikhlasan untuk memahami.

Sebenarnya, apabila orang bukan pekak belajar bahasa isyarat daripada guru pekak, mereka bukan sekadar belajar satu bahasa baharu.

Mereka sedang belajar merendahkan ego. Mereka belajar bahawa tidak semua orang berkomunikasi dengan cara yang sama. Mereka belajar bahawa dunia ini lebih luas daripada suara yang kita dengar setiap hari.

Hari Guru sepatutnya menjadi ruang untuk kita menghargai semua pendidik, termasuk guru pekak yang selama ini mungkin kurang diberi perhatian.

Mereka mengajar dalam sunyi tetapi ilmu yang disampaikan sangat bermakna. Mereka tidak bersuara, tetapi tangan mereka berbicara dengan penuh makna.

Maka, sempena Hari Guru ini, marilah kita melihat guru pekak dengan penghargaan yang lebih tinggi. Mereka bukan sekadar pengajar bahasa isyarat. Mereka ialah jambatan antara dunia pekak dan dunia bukan pekak.

Mereka membantu masyarakat memahami bahawa inklusiviti bukan hanya tentang menyediakan kemudahan, tetapi tentang kesediaan untuk belajar bahasa dan budaya orang lain.

Akhirnya, bahasa isyarat mengajar kita satu perkara yang sangat indah. Untuk memahami manusia, kita tidak semestinya perlu mendengar dengan telinga. Kadang-kadang, kita hanya perlu membuka mata, melembutkan hati dan memberi ruang kepada tangan untuk berbicara.

Selamat Hari Guru buat semua guru, termasuk guru pekak yang mengajar tanpa suara, namun meninggalkan ilmu yang terus berbicara dalam jiwa.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Salina Mohammed Rashid
Pensyarah Pengurusan Sumber Manusia
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Univerisiti Islam Selangor
E-mel: salinarashid@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.