Ringgit mengukuh, cerminan kekuatan negara

Foto hiasan

ULASAN BERITA

RINGKASAN BERITA AI
  • Ringgit mengukuh mencerminkan keyakinan pelabur dan kekuatan asas ekonomi Malaysia.
  • Pengukuhan mata wang mengurangkan kos import, menurunkan tekanan harga dan meringankan kos sara hidup.
  • Dasar fiskal berdisiplin, tadbir urus baik dan pelaburan meningkat menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Pengukuhan Ringgit Malaysia ke paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun bukan sekadar perkembangan statistik dalan pasaran kewangan. Ia adalah suara pasaran; satu mesej yang kuat.

Ketika ditutup pada Khamis, ringgit diniagakan pada 3.9275/9315 berbanding dolar Amerika Syarikat. Paras paling kukuh sejak Mei 2018. Prestasi ringgit juga lebih tinggi berbanding mata wang utama dan serantau, seperti Euro, Yen, Baht, dan Dolar Singapura.

Dalam dunia yang penuh ketidaktentuan ekonomi global, apabila ringgit bangkit dan kian mengukuh, ini bukan kebetulan. Ia adalah pencerahan keyakinan pelabur terhadap pasaran Malaysia.

Laporan Bloomberg menyatakan, ringgit meningkat bukan hanya kerana kelemahan dolar Amerika atau pergerakan luaran semata-mata. Kekuatan ringgit juga terikat kepada faktor asas ekonomi yang semakin mantap dalam negara. Semakin yakin dengan ringgit, termasuk Moody’s Analytics, Goldman Sachs dan MUFG.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata manfaat utama pengukuhan ringgit adalah barangan yang diimport menjadi lebih murah, memandangkan kuasa beli yang meningkat.

Ringgit yang lebih kukuh membantu negara mengurus kewangan dengan lebih baik. Boleh beli barangan berteknologi tinggi, perubatan dan makanan ternakan dengan kos import lebih rendah. Seterusnya mengurangkan tekanan harga dan kos hidup rakyat terasa lebih terkawal. Rakyat juga boleh melancong ke luar negara dengan kadar tukaran mata wang asing yang lebih baik.

Namun, “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri”. Percutian dalam negara tidak kurang seronoknya. Pelajar di luar negara turut menikmati kelebihan, memandangkan kos yuran pengajian dan perbelanjaan sara hidup mereka akan berkurangan.

Dasar ekonomi yang berdisiplin, pengurusan fiskal yang berhemah dan penekanan terhadap tadbir urus, semuanya telah memainkan peranan besar dalam membentuk keyakinan pasaran yang sedang dipamerkan oleh ringgit hari ini.

Pengukuhan ringgit telah memberi kesan positif kepada ekonomi negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan pengukuhan mata wang perlu dilihat bukan secara terpisah tetapi sebagai hasil angka ekonomi yang positif. Pelaburan meningkat, pendapatan rakyat bertambah dan kadar pengangguran berkurangan.

Prestasi ini mencerminkan keberkesanan dasar tatakelola, kestabilan politik dan keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara.

Bukan harapan kosong. Modal kembali ke pasaran Malaysia kerana kepastian dasar dan pembaharuan yang sedang dijalankan. Ini bukan ilusi. Bukan juga sentimen sementara. Ini adalah kebangkitan yang diukur, nampak dan diiktiraf.

Bank Dunia menjangkakan ekonomi Malaysia terus tumbuh pada kadar 4.3 peratus pada 2026, disokong asas domestik yang teguh termasuk pasaran buruh sihat, peningkatan pelaburan langsung asing atau FDI, dan disiplin fiskal. Pertumbuhan ini mencerminkan daya tahan ekonomi negara yang terus menjadi tumpuan pelabur asing.

Inilah saat semangat ekonomi Malaysia diuji. Bukan untuk mundur ke landasan lama, tetapi untuk melonjak ke tahap yang lebih tinggi. Ringgit yang kukuh menuntut transformasi sebenar, ekonomi bernilai tinggi, inovasi berterusan dan produktiviti yang meningkat.

Ini bukan retorik. Ini adalah keperluan untuk negara maju. Ringgit telah berdiri tegak setelah sekian lama diuji. Ia bukan sekadar angka dalam papan pertukaran, tetapi simbol bahawa Malaysia, siap untuk meraih kejayaan yang lebih besar.

Ia adalah suara fakta, suara pasaran, suara masa depan, dan pada saat ini, apabila kita melihat situasi ekonomi global, yakinlah bahawa apa yang sedang berlaku bukan satu episod sementara, tetapi satu perjalanan yang panjang.

Ringgit kini menjadi saksi. Pasaran telah memberi respons. Rakyat memerlukan kesinambungan, dan mandat untuk meneruskan hala tuju ini adalah tanggungjawab kolektif demi masa depan negara.

Pada saat ringgit mengukuh, pendirian negara juga mesti kukuh. Masa depan Malaysia jika kita terus bertindak dengan keberanian, kebijaksanaan dan ketegasan akan menjadi sesuatu yang lebih hebat untuk diceritakan.

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Zamzuri Zawawi.