
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Empat fokus utama digariskan bagi memperkasa Ekosistem Halal Majlis Amanah Rakyat (MARA) supaya digerakkan secara lebih agresif dan tersusun.
- Perkukuh kapasiti dalaman dan program pembangunan usahawan seperti BEST, CERT, Gate to Global untuk tingkat standard, operasi, pembungkusan dan akses eksport.
- Percepat pendigitalan dan jadikan portal MyHALAL MARA pusat rujukan, pemantauan dan pemudah cara bagi bimbingan, pembiayaan dan peluang pasaran.
- Perkukuh ekosistem pendidikan keusahawanan halal melalui IPMa dan TVET, melahirkan usahawan mahir teknologi, standard, syariah dan pasaran global.
- Tingkatkan sasaran prestasi, melepasi nilai semasa dan menambah jumlah usahawan bersijil halal untuk jadi pengeksport Bumiputera di peringkat antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara keutamaan tersebut ialah memperkukuh kapasiti dalaman serta memperkasa program pembangunan usahawan.
“Program seperti BEST, CERT dan ‘Gate to Global’ mesti diperkasa. Dengan peruntukan RM12.3 juta pada tahun ini, program-program ini perlu dimanfaatkan bukan sekadar membantu usahawan memenuhi syarat, tetapi untuk meningkatkan standard, memperbaiki operasi, memperkukuh pembungkusan, meningkatkan daya saing dan membuka pintu eksport lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Ekosistem Halal MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut beliau, usaha itu turut merangkumi percepatan pendigitalan serta pembinaan ekosistem pendidikan keusahawanan halal yang lebih tersusun bagi melahirkan usahawan kompetitif di peringkat global.
“Portal MyHALAL MARA tidak boleh sekadar menjadi portal maklumat, sebaliknya perlu berfungsi sebagai pusat rujukan, pemantauan dan pemudah cara kepada usahawan untuk mendapatkan akses kepada bimbingan, pembiayaan dan peluang pasaran.
“MARA juga perlu membina ekosistem pendidikan keusahawanan halal yang lebih tersusun. Institusi Pendidikan MARA (IPMa) dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA mesti melahirkan generasi usahawan halal yang bukan sahaja mahir berniaga, tetapi memahami standard, teknologi, syariah dan pasaran global,” katanya.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata sasaran pencapaian MARA perlu dipertingkatkan melepasi prestasi semasa.
“Jika tahun ini kita mencatat RM819 juta, saya mahu tahun hadapan MARA melepasi sasaran RM1 bilion nilai potensi jualan di pasaran antarabangsa.
“Pada masa sama, saya menyasarkan sekurang-kurangnya 300 lagi usahawan memperoleh pensijilan halal tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, langkah tersebut diyakini mampu mengubah kedudukan usahawan Bumiputera daripada pemain domestik kepada pengeksport global dalam rantaian nilai halal dunia.
Tambahnya, usaha itu penting bagi membina rantaian bakat industri halal yang menyeluruh, merangkumi pengusaha, pakar, juruaudit, teknousahawan dan pengeksport halal Bumiputera yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.