
SUBANG, 4 Mei – Kemudahan aeroangkasa baharu di Kompleks Impeccable Vintage Properties Sdn. Bhd. (IVP), Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat atau MRO di peringkat serantau.
- Menarik pelaburan antarabangsa, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.
- Pelancaran hangar utama memulakan operasi MRO, meningkatkan kapasiti industri serta menawarkan ruang sewaan dan peluang kerjasama projek baharu.
- Kompleks menempatkan pemain utama dan pusat penyelenggaraan enjin serta memiliki ruang ujian enjin darat untuk pesawat berbadan lebar; amalan cekap tenaga dan mitigasi banjir.
Ketua Pegawai Eksekutif Impeccable Vintage Properties Sdn. Bhd. (IVP) Abdul Ofar Musa berkata, ia dijangka menarik pelaburan antarabangsa, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.
Pelancaran itu menandakan permulaan operasi hangar utama bagi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat, yang dijangka meningkatkan kapasiti industri aeroangkasa negara.
“Pelancaran hari ini membuka peluang kepada pemain industri, dengan fasiliti kami masih mempunyai ruang yang boleh disewakan. Masih terdapat ruang untuk pembangunan projek baharu yang boleh dilaksanakan secara kerjasama.
“Pada masa sama, kami juga mempunyai penyewa atau tenant bagi hangar yang sedia ada ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita Majlis Perasmian Kompleks IVP di sini hari ini.
Menurut Abdul Ofar, IVP berada pada kedudukan baik untuk memenuhi permintaan kapasiti hangar serta memperkukuh daya saing Malaysia sebagai hab MRO serantau.
Kompleks ini turut menempatkan pemain industri utama termasuk Malaysia Airlines Berhad Engineering Services dan Base Maintenance Malaysia, selain pusat penyelenggaraan enjin GE Aerospace.
Kemudahan berkenaan juga dilengkapi ruang ujian enjin darat khas yang mampu menampung pesawat berbadan lebar, menjadikannya satu-satunya fasiliti seumpamanya di Subang.
Selain itu, IVP turut menekankan pembangunan mampan melalui penggunaan sistem cekap tenaga, pengurusan air yang lebih baik serta langkah mitigasi banjir.