Rakyat perlu cakna, kekang ketirisan subsidi

Foto hiasan/BERNAMA

ULASAN BERITA

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlukan kesedaran rakyat supaya subsidi disasarkan kepada yang layak dan mengelakkan ketirisan.
  • Langkah penguatkuasaan termasuk CCTV, papan tanda ICQS dan larangan pembelian oleh warga asing.
  • MyKad baru dengan kod QR dan SARA membantu rekod pembelian dan pengagihan bantuan.
  • Orang ramai dan pengusaha diminta bekerjasama, laporkan penyalahgunaan melalui saluran rasmi.

Petrol dan minyak masak kekal menjadi barang paling banyak diseleweng sejak bertahun-tahun.

Di sebalik pelbagai tindakan dan usaha telah diambil untuk membanterasnya. Meski bermacam-macam cabaran dihadapi, ia tidak mematahkan semangat pihak berkuasa untuk menangani masalah itu.

Ahad lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendedahkan nilai rampasan hasil penguatkuasaan Ops Tiris sejak 2024 hingga Januari 2026 mencecah hampir RM179 juta.

Paling tinggi bernilai RM91.59 juta pada 2024. Angka itu bukan sekadar hendak tunjuk nilai rampasan adalah besar, tetapi lebih penting adalah keberkesanan strategi penguatkuasaan KPDN.

Tahun lalu, jumlah kes turun 14.2%, berbanding 2024. Nilai rampasan turut mencatatkan penurunan 10.8%, menandakan strategi yang dirangka dan dilaksana secara berterusan, membuahkan hasil.

Perkara itu dikongsikan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam. Ini semua hasil penguatkuasaan pihak berwajib. Mulai tahun ini juga, langkah agresif membanteras ketirisan diambil.

Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua stesen minyak di kawasan sempadan, akan dilakukan, termasuk juga 17 papan tanda larangan import dan eksport di semua Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Larangan warga asing membeli minyak masak bersubsidi bermula bulan depan, dilihat paling signifikan. Begitu juga tindakan tidak membenarkan kenderaan nombor pendaftaran asing membeli petrol RON95 pada April.

Dua langkah ini mendapat reaksi positif dan dialu-alukan banyak pihak. Tegas Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali larangan itu bertujuan memastikan subsidi disasarkan kepada golongan yang benar-benar layak, dan menjaga hak warganegara yang membayar cukai selama ini.

Memetik kata-kata pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, langkah itu berpotensi menjana penjimatan antara RM10 bilion hingga RM12 bilion setahun, selepas warga asing tidak lagi dibenarkan menikmati barangan subsidi seperti minyak masak peket dan petrol RON95.

Menyingkap sejenak mengenai harga petrol RON95 bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95). Sehingga 30 November 2025, 13.9 juta rakyat atau lebih 84% orang layak menikmatinya.

Menjelang ketibaan perayaan Tahun Baharu Cina, dan sambutan Ramadan serta Syawal, minyak masak, petrol RON95 tentunya antara item paling penting. Namun, kita tidak menafikan hak bukan warganegara untuk membeli barangan keperluan itu. Cuma mereka perlu beli dengan harga runcit tanpa subsidi.

Mulai 1 Jun pula, MyKad baharu dilengkapi kod QR akan diperkenalkan, bagi membolehkan setiap pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh rakyat tempatan direkodkan secara sistematik.

Kaedah ini dilihat bagus untuk mengelak pihak tertentu ambil kesempatan membeli minyak secara pukal. Secara tidak langsung menafikan hak orang lain untuk turut sama menikmati subsidi.

Isnin depan pula, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mula disalur. Jadi berhati-hatilah. Jaga kad pengenalan anda.

Di sebalik usaha berterusan pucuk pimpinan negara, rakyat perlu bekerjasama. Jangan ada parasit!, pengkhianat.

Demi duit, sanggup seludup, jual barang bersubsidi kepada warga asing, jual ke luar negara. Ambil kesempatan dalam kesempitan.

Pengusaha di stesen-stesen minyak, peruncit juga perlu sedar. Komplot membawa padah!. Anda boleh didakwa. Termasuk lesen operasi ditarik dan kompaun.

Kepada orang ramai yang tularkan kesalahan di stesen-stesen minyak, pasar raya. Anda tak bersalah, tapi boleh cetuskan panik, kebencian. Seeloknya, gunakan saluran yang betul. Laporkan ke eAduan KPDN. Supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Sayangilah negara sendiri. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Mohd Khairie Khalid.