RPN 2026 -2035, penyesuaian semua pihak realisasi sasaran

Foto hiasan/Fail BERNAMA

ULASAN BERITA

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan Kemasukan Tahun Satu pada usia enam tahun bermula 2027 dengan ujian diagnostik untuk murid yang benar-benar bersedia.
  • Inisiatif bukan paksaan; fokus kepada kebajikan, kesejahteraan dan kesiapsiagaan emosi serta intelektual kanak-kanak.
  • MPM Tahun Empat dan TVET diperkenalkan untuk menilai asas literasi, numerasi dan pendedahan kemahiran awal.
  • Penyusunan semula laluan prauniversiti di bawah KPT menuntut koordinasi rapi memastikan kesinambungan dan kebajikan pelajar.

Pengumuman kemasukan murid ke Tahun Satu pada usia enam tahun bermula 2027 mencetuskan reaksi pelbagai. Ada yang bersetuju, ada juga yang panik.

Bagi sebahagian ibu bapa, kebimbangan timbul kerana realitinya, tahap kematangan anak-anak berbeza. Ada yang sudah boleh membaca dan menulis pada usia tersebut. Namun, ada yang masih bergelut dengan kemahiran asas serta kawalan emosi.

Ibu bapa juga tertanya-tanya sama ada guru dan sekolah mempunyai keupayaan mencukupi termasuk dari segi infrastruktur untuk menyesuaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta menampung pertambahan murid Tahun Satu.

Ia berikutan jumlah murid yang mendaftar ke Tahun Satu sentiasa meningkat saban tahun, termasuk lebih 400,000 yang direkodkan bagi sesi 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 ini menegaskan, inisiatif berkenaan bukan paksaan atau kewajipan.

Ia hanya dilaksanakan melibatkan murid dan ibu bapa yang bersedia. Malah, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memberi jaminan, ujian diagnostik akan dibuat terlebih dahulu sebelum murid dibenarkan memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun.

Hanya kanak-kanak yang benar-benar bersedia dari segi keupayaan berfikir dan emosi akan ditawarkan kemasukan awal.

Beliau turut menegaskan, inisiatif itu bukan bertujuan mewujudkan perlumbaan akademik, sebaliknya berasaskan kebajikan, kesejahteraan dan tahap kesiapsiagaan kanak-kanak.

Ia juga sebahagian daripada perancangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), selaras amalan antarabangsa yang memulakan pendidikan rendah pada usia enam tahun.

Malah, kajian turut menunjukkan umur antara empat hingga tujuh tahun merupakan fasa kritikal dalam perkembangan pembelajaran kanak-kanak, khususnya bagi pembentukan asas literasi, numerasi dan kesiapsiagaan ke sekolah.

Perkara tersebut terkandung dalam laporan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), sebuah pertubuhan antarabangsa yang berpangkalan di Paris, Perancis.

Menurut laporan itu, perkembangan keupayaan berfikir serta sosial dan emosi berlaku dengan pesat dalam tempoh ini dan sangat dipengaruhi oleh kualiti rangsangan pembelajaran awal yang diterima.

Ia sekali gus dapat menyesuaikan murid dalam sesi persekolahan bagi jangka panjang.

Hakikatnya, isu kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun ini hanya sebahagian daripada RPN 2026–2035, pelan yang dirangka untuk membentuk semula hala tuju pendidikan negara bagi tempoh sepuluh tahun akan datang.

Antara perkara lain yang turut mendapat perhatian ialah pengenalan Matriks Pembelajaran Malaysia (MPM) bagi murid Tahun Empat yang dilaksanakan secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan.

Dalam kalangan ibu bapa, kebimbangan tetap wujud sama ada ia benar-benar membantu murid atau sekadar memindahkan tekanan peperiksaan ke usia yang lebih muda.

Bagaimanapun, menurut Kementerian Pendidikan (KPM), langkah ini sebenarnya bertujuan menilai pencapaian asas murid, khususnya dalam literasi, numerasi dan kemahiran asas saintifik.

Ia sekali gus membolehkan intervensi awal dirangka sebelum mereka melangkah ke peringkat seterusnya.

RPN 2026–2035 turut merangkumi pelbagai lagi perubahan besar, termasuk pengenalan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sekolah rendah dan menengah.

Langkah ini dilihat sebagai usaha mengubah persepsi bahawa laluan kemahiran hanyalah pilihan kedua berbanding akademik.

Pendedahan awal kepada TVET dapat membantu murid mengenal pasti minat dan potensi sebenar mereka sejak di bangku sekolah.

Selain itu, RPN 2026–2035 juga menyaksikan penyusunan semula laluan pendidikan prauniversiti, apabila Tingkatan Enam dan matrikulasi diletakkan sepenuhnya bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Langkah ini bertujuan mewujudkan laluan yang lebih jelas dan terselaras ke peringkat pengajian tinggi.

Namun, perubahan struktur ini turut menuntut koordinasi rapi supaya kebajikan pelajar dan kesinambungan pembelajaran tidak terjejas.

Secara keseluruhan, RPN 2026–2035 membawa mesej bahawa kerajaan mahu sistem pendidikan yang lebih fleksibel, relevan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Di atas kertas, pendekatan itu kelihatan tersusun dan berperingkat. Namun bagi masyarakat, persoalan utama bukan sekadar pada visi, tetapi pelaksanaannya. Perubahan di peringkat dasar perlu mengambil kira realiti di bilik darjah.

Akhirnya, apabila reformasi pendidikan ini menyentuh anak-anak seawal usia lima tahun, persoalan yang perlu dijawab ialah, siapakah yang sebenarnya perlu menyesuaikan diri terlebih dahulu?

Murid, ibu bapa, atau sistem itu sendiri?

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Faris Izzat Shaharudin .