Krisis bekalan global, bersediakah kita?

Gambar/RTM

ULASAN BERITA

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mengimbangi mesej realistik dan telus, sambil menyalurkan bantuan dan strategi untuk memastikan kesiapsiagaan rakyat
  • Pelaksanaan langkah mitigasi termasuk fasilitasi logistik, sokongan mitigasi risiko dan pengembangan pasaran eksport melalui MTEN
  • Percepatan biodiesel B15 dan kesiapsediaan fasiliti pengadunan bantu kurangkan kebergantungan bahan api import
  • Rakyat dan perniagaan digesa berjimat, sokong produk tempatan, bina simpanan kecemasan; bantuan RM5 bilion disediakan untuk PMKS

Krisis bekalan global kini memasuki fasa tekanan berpanjangan bukan lagi sekadar kejutan sementara. Ia menjadi cabaran struktural yang memberi kesan menyeluruh kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia.

Menjadi tugasan berat buat kerajaan dalam mempersiapkan rakyat menghadapi kesan konflik tanpa perlu mencetuskan panik dan sikap sambil lewa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, pendekatan paling mencabar ketika ini ialah mengimbangi penyimpanan mesej kepada rakyat agar bersifat realistik dan telus.

Semestinya kerajaan tidak mahu rakyat panik, namun dalam masa sama tidak juga mahu wujud perasaan seolah-olah situasi global itu tidak memberi kesan kepada negara. Rakyat perlu bersedia untuk sebarang situasi.

Dalam keadaan sekarang, hemat dan hemah perlu menjadi pegangan ketika berbelanja. Utamakan keperluan, bukan lagi kehendak. Buat lah pertimbangan sewajarnya ketika berbelanja.

Sudah tiba masanya untuk kita bangga dengan produk tempatan. Jika ada produk tempatan dengan kualiti setanding antarabangsa, mengapa tidak? Begitu juga jika hendak bercuti. Pilihlah bercuti dalam negara yang pastinya jauh lebih jimat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan berpeluk tubuh dalam mendepani krisis global yang semakin kompleks. Tambahnya strategi terus dirangka, bantuan disalur secara berterusan.

Setiap langkah yang diambil adalah berpaksikan kepentingan rakyat, selain memastikan negara kekal bersedia dan berdaya tahan terhadap kejutan bekalan tenaga.

Ketidaktentuan di Selat Hormuz terus menjadi faktor kritikal kepada rantaian bekalan dunia yang meningkatkan kos insurans, risiko penghantaran serta kelewatan logistik.

Dalam menghadapi situasi ini, kerajaan telah mempergiat langkah mitigasi strategik bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan negara. Antaranya fasilitasi logistik, sokongan mitigasi risiko serta perluasan pasaran eksport melalui keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Kerjasama dua hala dengan rakan dagang strategik turut diperkukuh bagi menjamin kesinambungan bekalan tenaga, pertanian dan bahan industri kritikal. Dalam masa sama, pelaksanaan biodiesel B15 dipercepat.

Lebih 70 peratus fasiliti pengadunan telah bersedia, sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan tenaga dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import. Langkah ini dilihat sebagai keperluan strategik bagi mengelakkan tekanan kos yang boleh membebankan rakyat dan perniagaan.

Di peringkat domestik, pelbagai langkah penyesuaian dilaksanakan bagi mengurus tekanan kos sara hidup. Antaranya pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam sektor awam yang berjaya menjimatkan kira-kira 600,000 liter bahan api dalam tempoh singkat, melibatkan lebih 155,000 penjawat awam.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa pendekatan menyeluruh sedang dilaksanakan di semua kementerian bagi mengoptimumkan penggunaan bahan api.

Pakar ekonomi melihat krisis ini bukan semata-mata cabaran, tetapi juga peluang untuk memperkukuh asas ekonomi negara.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Perakaunan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Siti Zaidah Turmin, gangguan global membuka ruang kepada negara untuk meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh pengurusan rantaian bekalan.

Selain itu, krisis tenaga dilihat sebagai pemangkin kepada peralihan sumber tenaga alternatif seperti solar dan biogas. Sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang terdedah kepada turun naik pasaran antarabangsa.

Di peringkat isi rumah pula, penyesuaian gaya hidup seperti pengurusan kewangan berdisiplin, penjimatan tenaga serta pembinaan simpanan kecemasan menjadi elemen penting dalam meningkatkan daya tahan individu.

Kerajaan turut memperkenal kemudahan khas berjumlah RM5 bilion melalui Bank Negara Malaysia bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menghadapi tekanan krisis. Sokongan ini berfungsi sebagai “perisai ekonomi” untuk memastikan sektor tersebut kekal berdaya saing.

Secara keseluruhan, krisis bekalan global yang berpanjangan menuntut pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan, industri dan rakyat.

Walaupun cabaran ini berada di luar kawalan domestik, tindak balas yang proaktif, dasar yang adaptif serta perubahan tingkah laku masyarakat mampu memastikan Malaysia kekal stabil, berdaya tahan dan kompetitif dalam jangka panjang.

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Siti Noorain Abdullah.