
ULASAN BERITA
- Landskap kerja berubah ke orientasi hasil, kerja fleksibel, BDR dan ekonomi gig yang menuntut kebolehsuaian dan kebebasan bekerja.
- Tekanan kos sara hidup meningkat sementara pertumbuhan upah ketinggalan; tumpu pada peluang berkemahiran tinggi untuk naikkan pendapatan keluarga.
- Kerajaan memperkukuh inisiatif Malaysia MADANI seperti PERKESO, latihan semula, TVET, MyMAHIR dan Akta Pekerja Gig untuk lindungi pekerja dan bina kemahiran.
Setiap pagi, jutaan rakyat Malaysia keluar mencari rezeki dengan tujuan yang sama, demi menggerakkan negara dan survival keluarga.
Sambutan Hari Pekerja diadakan saban tahun sebagai simbol bagi menghargai sumbangan tenaga kerja terhadap ekonomi dan kesejahteraan negara.
Jika kita hayati lirik lagu Solidariti Perjuangan ciptaan bekas Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, terpancar satu hakikat yang tidak dapat disanggah.
“Tanpa pekerja, tidak ada Istana Raja.”
“Tanpa pekerja, negeri tidak terbela.”
“Tanpa pekerja, ekonomi tak berjaya.”
“Kita kuat bersama.”
Ungkapan ini menjadi saksi betapa besarnya peranan setiap individu yang bergelar pekerja dalam mencorak pertumbuhan sesebuah negara. Namun, realiti pekerjaan masa kini tidak lagi sama.
Landskap kerjaya tidak lagi terikat kepada model tradisional “9 pagi hingga 5 petang” di pejabat fizikal. Maka, ia bukan lagi tentang hadir, tetapi kehebatan hasil.
Sektor awam kini berevolusi ke arah digital, bersatu dengan daya saing sektor swasta yang berpaksikan inovasi.
Sektor gig pula menawarkan ruang kebebasan dan pilihan cara kerja yang lebih luas, kerjaya yang menuntut jiwa yang benar-benar mandiri.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara kekal sekitar 3 peratus, sekali gus mencerminkan kestabilan pasaran buruh walaupun berdepan tekanan kos sara hidup.
Senang cerita, walaupun ekonomi mencabar, rakyat Malaysia sebenarnya masih ‘laku’ di pasaran kerja. Namun, kestabilan ini tidak bermaksud cabaran pekerja semakin reda.
Sambutan Hari Pekerja 2026 hadir dalam suasana ekonomi global yang mencabar, dengan kos sara hidup meningkat, rantaian bekalan global yang masih tidak stabil dan teknologi seperti kecerdasan buatan, memerlukan adaptasi dalam struktur pekerjaan.
Bertemakan, “Pekerja MADANI, Kesuma Bangsa” mencerminkan aspirasi kerajaan dalam membentuk ekosistem pekerjaan yang progresif, inklusif dan berdaya tahan selari dengan kerangka Ekonomi MADANI.
Inisiatif kerja fleksibel dan BDR kini menjadi tunjang transformasi dunia kerja hari ini.
Ia membuktikan keseriusan kerajaan menyelaraskan kebajikan pekerja dengan tuntutan ekonomi digital serta kestabilan rantaian bekalan global.
Impaknya cukup bermakna buat setiap jiwa yang bekerja.
Tak perlu lagi berlumba, terkejar-kejar di jalan raya, Wang saku lebih terjaga, dan yang paling mahal adalah masa bersama insan tersayang. Bila hati tenang dan hidup seimbang, kualiti kerja pun pasti akan datang seiringan.
Namun, Adakah fleksibiliti kerja semata-mata mampu menjamin kesejahteraan sebenar pekerja?
Menurut Bank Negara Malaysia, cabaran utama sektor pekerjaan adalah jurang antara kos sara hidup dan pertumbuhan pendapatan isi rumah yang tidak setara.
Nada sama turut disuarakan Pakar Ekonomi Buruh Universiti Malaya, Profesor Dr. K. R. Shankaran, menekankan struktur upah yang masih belum seiring dengan kos hidup semasa.
Bukan tidak bersyukur. Namun, biarlah nilai keringat ini sepadan dengan keperluan hidup, demi melihat senyuman keluarga di rumah.
Pakar ekonomi, Dr. Yeah Kim Leng pula menegaskan pendapatan rakyat hanya akan meningkat, jika Malaysia fokus memacu peluang kerja berkemahiran tinggi mulai sekarang.
Malaysia merekodkan 30.2 peratus atau 5.17 juta pekerja mahir pada suku keempat tahun 2025, sekali gus meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk mencapai sasaran 35 peratus menjelang 2030 seperti yang digariskan RMK-13.
Menyedari perkara ini, kerajaan terus memperkukuh pelbagai inisiatif di bawah agenda Malaysia MADANI termasuk perlindungan sosial menerusi PERKESO, program latihan semula tenaga kerja, peluasan TVET, serta peningkatan kemahiran digital.
Sebagai contoh, pelaksanaan program Akademi Dalam Industri dan memperkukuh tadbir urus pembangunan bakat yang dipacu industri melalui penubuhan MyMAHIR Future Skills Talent Council .
Selain itu, penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 mulai 31 Mac lalu menjadi pemangkin jaminan kebajikan dan keadilan sosial, sekali gus memastikan golongan ini mendapat perlindungan setara dalam arus pembangunan negara.
Inilah misi kita dalam mendukung aspirasi Malaysia MADANI, memastikan tiada yang terpinggir dalam arus kemajuan.
Teruskan berbakti, kerana setiap usaha anda adalah nadi pembangunan negara.
Ulasan Berita ini disedikan oleh Editor Muhammad Afif Farhan.