fb fb fb fb fb

PETRONAS perkukuh ekosistem OGSE dengan sokongan vendor tempatan

Perasmian Oil and Gas Asia (OGA) 2025 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, 2 September - Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh ekosistem industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), menerusi kerjasama strategik serta sokongan kewangan kepada vendor tempatan.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas & Maritim PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli berkata, sejak 2018 pihaknya telah menyalurkan lebih RM2.2 bilion kepada vendor, termasuk lebih RM300 juta tahun ini.

“Melalui Program Pembangunan Vendor dan VDPx, lebih 170 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dibangunkan dengan 20 daripadanya berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Manakala Program Sokongan Pembekal telah melibatkan lebih 400 vendor bagi memperkukuh kelestarian,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Oil and Gas Asia (OGA) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, KLCC.

Ucapan itu disampaikan bagi pihak Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Menurutnya, vendor kecil turut mendapat manfaat apabila Program Pembiayaan Khas OGSE menyalurkan RM73.4 juta sejak 2022, termasuk RM31.9 juta pada tahun lalu.

OGA 2025 berlangsung dari 2 hingga 4 September bertemakan “Menjana Kemajuan, Membentuk Masa Depan”, sekali gus menjadi platform utama memperkukuh integrasi ekonomi serantau dengan tenaga sebagai tonggak di bawah Pengerusi ASEAN Malaysia.

TUN JULIA MOHD TAHIR