KUALA LUMPUR, 9 Februari- Usaha pengukuhan ringgit perlu mengambil kira langkah-langkah jangka masa pendek dan panjang kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Bagi tempoh jangka pendek, kerajaan wajar menilai secara objektif kemampanan ekonomi negara dan tidak melatah dengan mengambil jalan singkat.
Untuk jangka masa panjang, usaha menstrukturkan kembali ekonomi ke arah nilai tinggi perlu dipercepatkan seiring dengan langkah kerajaan mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
"Kita kena tumpu menstrukturkan ekonomi kita supaya tiga, empat tahun akan datang banyak industri-industri dan syarikat-syarikat yang boleh menawarkan potensi pulangan lebih baik.
"Ini akan menarik minat kepada Malaysia. Lagi banyak menarik minat ke Malaysia, maka lebih banyak wang masuk jadi ringgit akan naik," katanya menerusi segmen podcast yang disiarkan di Youtubenya.
Penstrukturan ekonomi ini akan menjadi kayu ukur yang dirujuk pelabur dan pasaran dalam menilai potensi lonjakan ekonomi negara di masa akan datang.
Dengan cara ini, ia memberi keyakinan kepada pelabur dan pedagang ke Malaysia, sekaligus mempertingkatkan permintaan eksport serta mempertingkat pertumbuhan ekonomi negara.