fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia ditutup tinggi, didorong saham perbankan, utiliti terpilih dan perladangan

BURSA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 10 Julai- Bursa Malaysia meneruskan momentum meningkatnya untuk ditutup tinggi bagi hari kedua berturut-turut pada Rabu, disokong oleh minat belian dalam saham perbankan, utiliti terpilih dan wajaran tinggi perladangan.

Pada pukul 5.00 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 3.96 mata kepada 1,618.38 daripada 1,614.42 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.71 mata lebih rendah pada 1,613.71, dan bergerak antara 1,613.65 dan 1,620.83 sepanjang hari.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 569 kepada 549, dengan 518 kaunter tidak berubah, 784 tidak diniagakan dan enam digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.76 bilion unit bernilai RM3.71 bilion daripada 4.65 bilion unit bernilai RM3.84 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd, Kenneth Leong berkata kepada Bernama bahawa FBM KLCI meneruskan peningkatannya hari ini, disokong oleh kenyataan kemungkinan penurunan sederhana kadar faedah oleh Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) Jerome Powell.

“Secara teknikal, FBM KLCI membentuk pola lilin meningkat yang kukuh sekali lagi berikutan indeks utama itu kekal melepasi 1,600 hari ini.

"Kami mengekalkan unjuran cenderung meningkat bagi indeks utama kerana ia kelihatan menguji semula rintangan segera yang terletak pada 1,630, manakala sokongan menurun kekal ditambat pada 1,580," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pelabur akan terus memantau data jualan runcit Malaysia serta keputusan kadar faedah Bank Negara esok.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama ditutup agak bercampur-campur hari ini kerana tumpuan pasaran kekal pada pengumuman kemungkinan pemotongan kadar faedah Fed.

Sementara itu, Nikkei Jepun 225 naik 0.61 peratus kepada 41,831.99, Kospi Korea Selatan meningkat 0.02 peratus kepada 2,867.99, dan Indeks Straits Times Singapura mengukuh 0.99 peratus kepada 3,459.93.

Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.29 peratus kepada 17,471.67 dan Indeks Komposit SSE Shanghai turun 0.68 peratus kepada 2,939.36.

Thong berkata pelabur memberi tumpuan kepada angka inflasi pengguna AS pada Khamis, mengharapkan petunjuk selanjutnya bahawa pertumbuhan harga semakin menurun, yang berkemungkinan mengukuhkan keputusan Fed untuk mengurangkan kadar.

“Bagi bursa tempatan, indeks penanda aras meneruskan trajektori menaiknya disokong oleh kemasukan sokongan belian asing yang konsisten.

“Kami percaya momentum terkini akan menarik lebih ramai pelabur, terutamanya pelabur runcit ke dalam pasaran. FBM KLCI dijangka berkembang dalam julat 1,610-1,630 untuk baki minggu ini,” katanya.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa Malaysia Maybank turun empat sen kepada RM10.02 dan Tenaga Nasional turun dua sen kepada RM14.40.

IHH Healthcare kekal pada RM6.30, manakala Public Bank meningkat tiga sen kepada RM4.14 dan CIMB naik 12 sen kepada RM7.09.

Bagi kaunter paling aktif, Dataprep naik 3.5 sen kepada 24.5 sen, WCT Holdings menokok lapan sen kepada RM1.05, Jaks Resources menambah satu sen kepada 18 sen, dan Cabnet naik 11 sen kepada 70 sen, manakala Hubline turun setengah sen pada 7.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 37.50 mata kepada 12,510.38, Indeks FBMT 100 melonjak 39.98 mata kepada 12,085.91, Indeks FBM Emas Shariah menokok 29.14 mata kepada 12,857.26, Indeks FBM 70 melonjak 99.43 mata kepada 18,563.53, dan Indeks FBM ACE meningkat 24.32 mata kepada 5,974.58.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mencatatkan 39.04 mata kepada 17,748.81, Indeks Perladangan menokok 25.85 mata kepada 6,957.97, Indeks Tenaga meningkat 0.38 mata kepada 984.95, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan susut 0.03 kepada 200.06.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.88 bilion unit bernilai RM3.22 bilion daripada 2.74 bilion unit bernilai RM3.40 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran susut kepada 905.55 juta unit bernilai RM115.50 juta berbanding 987.46 juta unit bernilai RM116.99 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 970.78 juta saham bernilai RM365.76 juta berbanding 920.83 juta saham bernilai RM322.83 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 388.26 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (612.56 juta); pembinaan (330.13 juta); teknologi (455.02 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (136.24 juta); harta (271.76 juta); perladangan (60.87 juta); REIT (12.51 juta); dana tertutup (18,600); tenaga (171.77 juta); penjagaan kesihatan (74.85 juta); telekomunikasi dan media (47.96 juta); pengangkutan dan logistik (116.17 juta); utiliti (207.99 juta); dan amanah perniagaan (825,200). -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA