fb fb fb fb fb

Tiada lagi hospital berfungsi di utara Gaza - WHO

Kemusnahan hospital Kamal Adwan, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Hamas, di utara Semenanjung Gaza, 16 Disember 2023/ REUTERS

GENEVA, 21 Disember- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini memaklumkan tiada lagi hospital berfungsi di utara Gaza berikutan kekurangan bahan api, petugas serta bekalan diperlukan.

WHO berkata, hanya sembilan daripada 36 fasiliti kesihatan masih beroperasi dengan separa fungsi di seluruh Gaza, di mana semua kemudahan itu tertumpu di bahagian selatan semenanjung berkenaan.

"Sebenarnya, kini tiada lagi hospital berfungsi di bahagian utara," kata perwakilan WHO di Gaza, Richard Peeperkorn, kepada pemberita melalui pautan video dari Baitulmaqdis.

Beliau berkata, Hospital Al-Ahli Arab adalah yang terakhir masih berfungsi tetapi kini hanya mampu beroperasi pada tahap minimum dengan menyediakan perkhidmatan sangat terhad.

Menggambarkannya sebagai cuma tinggal 'rangka hospital', Peeperkorn memaklumkan bahawa kira-kira 10 petugas yang semuanya adalah doktor dan jururawat junior, terus memberi rawatan kecemasan, pengurusan sakit serta penjagaan luka yang asas dengan sumber amat terbatas di Hospital Al-Ahli Arab.

"Setakat dua hari lalu, ia adalah satu-satunya hospital di mana mereka yang mengalami kecederaan masih boleh menjalani pembedahan di utara Gaza. Ia sesak dengan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan.

"Tiada lagi dewan bedah yang beroperasi disebabkan kekurangan bahan api, tenaga elektrik, bekalan perubatan serta petugas kesihatan, termasuk pakar bedah dan doktor pakar lain," katanya.

Tambah beliau lagi, banyak jenazah mangsa serangan rejim Zionis, terkumpul di pekarangan hospital itu kerana belum dapat dikebumikan dengan baik dan selamat.

Selain Hospital Al-Ahli Arab, hanya ada tiga fasiliti kesihatan masih beroperasi pada tahap minimum di utara Gaza, iaitu Hospital Al-Shifa, Al Awda dan Al Sahaba yang turut dipenuhi ribuan penduduk untuk berlindung selepas kehilangan tempat tinggal.

Peeperkorn berkata, sebilangan pesakit di Hospital Al-Ahli Arab telah menunggu selama berminggu-minggu untuk menjalani pembedahan.

Sementara pesakit yang sudah menjalani pembedahan pula berdepan risiko jangkitan pascapembedahan susulan kekurangan antibiotik dan ubat-ubatan lain.

"Kesemua pesakit berkenaan tidak mampu bergerak dan perlu dipindahkan segera agar mereka mempunyai peluang untuk diselamatkan," katanya.

Beliau sekali gus mengulangi gesaan WHO supaya gencatan senjata dilaksanakan demi kemanusiaan di Semenanjung Gaza yang kini dibedil berterusan oleh Israel.

"Amat penting untuk menyediakan perkhidmatan perubatan diperlukan ribuan penduduk yang cedera. Paling penting ialah untuk menghentikan pertumpahan darah dan kematian," katanya. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI