fb fb fb fb fb

Ribut Tropika: 200,000 penduduk di barat Jepun diarah berpindah

Para saintis menyifatkan perubahan iklim akibat perbuatan manusia telah meningkatkan risiko hujan lebat/Foto fail AFP

TOKYO, 2 November – Hampir 200,000 penduduk di barat Jepun dinasihatkan untuk berpindah selepas pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan berlakunya tanah runtuh dan banjir akibat ribut tropika.

Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan "udara panas dan lembap... menyebabkan hujan lebat berserta ribut petir di barat Jepun," sebahagiannya disebabkan oleh Kong-rey.

Bandar Matsuyama mengeluarkan amaran tertinggi, meminta 189,552 penduduk di 10 daerahnya segera berpindah dan mencari perlindungan, menurut pegawai bandar kepada AFP.

Walaupun arahan berpindah tidak diwajibkan, amaran tahap tertinggi di Jepun biasanya dikeluarkan apabila berlakunya kemungkinan bencana.

Akibat hujan lebat, perkhidmatan kereta api laju Shinkansen antara Tokyo dan Fukuoka di selatan Jepun telah digantung sementara pada waktu pagi sebelum disambung semula dengan jadual yang ditunda.

Kong-rey, yang melanda Taiwan pada Khamis lalu, merupakan salah satu ribut terbesar dalam dekad ini.

Bencana itu meragut sekurang-kurangnya dua nyawa dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik di puluhan ribu rumah.

Para saintis menyifatkan perubahan iklim akibat perbuatan manusia telah meningkatkan risiko hujan lebat kerana atmosfera lebih panas menyimpan lebih banyak air. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN