fb fb fb fb fb

Puluhan wartawan di Hong Kong terima ancaman bunuh

Hong Kong yang pernah dikenali kerana kebebasan medianya kini telah jatuh dalam ranking kebebasan media

HONG KONG, 13 September - Puluhan wartawan di Hong Kong berdepan gangguan dan intimidasi terancang beberapa minggu kebelakangan ini termasuk kebocoran maklumat peribadi dan ancaman bunuh, kata persatuan wartawan itu hari ini.

Hong Kong yang pernah dikenali kerana kebebasan medianya kini telah jatuh dalam ranking kebebasan media selepas Beijing mengetatkan tindakan terhadap penentangan susulan protes besar-besaran prodemokrasi pada 2019.

Persatuan Wartawan Hong Kong menyatakan bahawa ahli jawatankuasa eksekutifnya termasuk 13 media antarabangsa dan tempatan serta dua institusi pendidikan telah menjadi sasaran gangguan tanpa nama sejak Jun.

"Jenis intimidasi dan gangguan ini, yang termasuk penyebaran kandungan palsu dan fitnah serta ancaman bunuh, merosakkan kebebasan media di Hong Kong, dan kita tidak seharusnya bertoleransi dengannya," kata pengerusi persatuan, Selina Cheng, dalam satu sidang media.

Pengumuman itu dibuat kira-kira dua minggu selepas media prodemokrasi, Stand News, dan dua editor utamanya didapati bersalah atas tuduhan hasutan, yang merupakan sabitan pertama sejak Hong Kong berada di bawah pentadbiran China pada tahun 1997.

Sekurang-kurangnya 15 wartawan, termasuk Selina Cheng, telah menerima gangguan dalam bentuk e-mel atau surat tanpa nama.

Surat atau e-mel tersebut dihantar kepada ahli keluarga wartawan terbabit, majikan mereka, tuan tanah, sekolah, badan amal, dan perniagaan yang berkaitan dengan mereka.

Sebahagian penulis surat tersebut menggelarkan diri mereka sebagai "patriot".

Selain itu, maklumat peribadi kira-kira 36 wartawan telah dibocorkan dan dikongsikan dalam kumpulan Facebook, disertai dengan ancaman bunuh yang menakutkan, termasuk gambar pisau dan darah. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN