fb fb fb fb fb

PBB beri amaran keganasan meningkat di Sudan

Pelarian dari Wad Madani tiba di Gedaref/AFP

WASHINGTON, 23 Disember- Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) memberi amaran terhadap keganasan yang semakin meningkat di Sudan yang dilanda konflik.

Kenyaataan itu dibuat semalam, sehari selepas majlis tersebut melaporkan tujuh juta orang kehilangan tempat tinggal akibat konflik di negara itu.

Dalam satu kenyataan bersama, UNSC mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas orang awam dan penyebaran konflik ke kawasan yang menampung populasi besar orang yang kehilangan tempat tinggal, pelarian dan pencari suaka.

“Anggota Majlis Keselamatan melahirkan kebimbangan terhadap keganasan yang merebak dan keadaan kemanusiaan yang semakin buruk di Sudan,” kata kenyataan itu.

PBB berkata seramai 1.5 juta pelarian telah melarikan diri ke negara jiran pada Khamis lalu.

Sejak pertempuran meletus pada April lalu, antara Ketua Tentera Abdel Fattah al-Burhan dan bekas timbalannya, Komander Pasukan Sokongan Rapid (RSF) Mohamed Hamdan Daglo, Bandar Wad Madani, terletak 180 kilometer (110 batu) di selatan Khartoum, telah menjadi tempat perlindungan untuk ribuan orang melarikan diri semasa konflik.

Namun, Majlis Keselamatan berkata pertempuran telah merebak di bandar tersebut, menyebabkan pelarian melarikan diri sekali lagi.

"Menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi, sebanyak 300,000 orang telah melarikan diri dari Wad Madani di negeri Al-Jazira dalam gelombang baharu pemindahan besar-besaran," kata Jurucakap Setiausaha Agung PBB Stephane Dujarric, pada Khamis.

Majlis tersebut menyeru pihak yang bertelagah untuk membenarkan akses kemanusiaan yang segera, selamat dan tanpa halangan di seluruh Sudan.

Majlis itu turut mengutuk serangan 10 Disember lalu ke atas sebuah konvoi milik Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa dan menyeru lebih banyak bantuan kemanusiaan kepada Sudan.

Menurut Data Lokasi dan Peristiwa Konflik Bersenjata, konflik negara itu telah menyebabkan 12,190 orang terkorban.-AFP

ROSLINA BINTI DIN