JEDDAH, 8 Ogos - Israel perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas pembunuhan bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh minggu lalu, kata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam mesyuarat tergempar yang diadakan pada Rabu.
OIC menyifatkan tindakan tersebut sebagai "jenayah pencerobohan, pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa dan pelanggaran serius terhadap kedaulatan Iran."
Mesyuarat diadakan selepas Tehran menuduh Israel membunuh Ismail Haniyeh, yang juga merupakan ketua biro politik Hamas.
Dalam kenyataan akhir yang dikeluarkan di Jeddah, Arab Saudi, OIC mengutuk tindakan yang disifatkan sebagai "jenayah perang dan genosid" yang dilakukan oleh Israel di Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis.
OIC menegaskan bahawa pembunuhan Ismail Haniyeh semasa beliau berada di Tehran adalah pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan serangan terhadap integriti wilayah dan keselamatan negara Iran.
OIC juga menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk mengenakan gencatan senjata segera dan menyeluruh terhadap pencerobohan Israel serta memastikan akses kemanusiaan yang mencukupi dan berterusan di seluruh Semenanjung Gaza.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan peningkatan konflik, terutamanya selepas pembunuhan pemimpin Hezbollah, Fuad Shukr di Beirut dan kemungkinan tindak balas dari Iran setelah pembunuhan Ismail Haniyeh.
Peningkatan ketegangan ini berlaku ketika serangan besar-besaran Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak Oktober lalu, walaupun terdapat resolusi UNSC yang menuntut gencatan senjata segera.
Sejak itu, hampir 40,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 91,000 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.-AFP