Iran tutup semula Selat Hormuz, tindak balas terhadap sekatan AS

Grafik mengenai Selat Hormuz yang menghubungkan Teluk dengan Laut Arab/AFP

TEHRAN, 18 April- Iran mengumumkan penutupan semula Selat Hormuz pada Sabtu, hanya beberapa jam selepas membuka semula laluan perairan strategik itu ketika lebih sedozen kapal dagang dilaporkan sedang melalui kawasan berkenaan, menurut arahan perintah ketenteraan negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dibuat selepas perubahan situasi keselamatan susulan sekatan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap pelabuhan Iran.
  • Penguasaan Selat Hormuz kembali kepada pengurusan dan kawalan ketat angkatan bersenjata.
  • Langkah itu menimbulkan ketidaktentuan terhadap laluan perkapalan global yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas.
  • Beberapa kapal dagang diarahkan berpatah balik dan sebahagian membatalkan perjalanan susulan peningkatan ketidaktentuan keselamatan.

Menurut kenyataan tentera Iran yang disiarkan media negara, keputusan itu dibuat selepas berlaku perubahan situasi keselamatan di kawasan berkenaan susulan sekatan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) terhadap pelabuhan Iran.

“Penguasaan Selat Hormuz kembali kepada status sebelumnya dan kini berada di bawah pengurusan serta kawalan ketat angkatan bersenjata,” menurut kenyataan itu.

Langkah terbaharu itu sekali gus menimbulkan ketidaktentuan terhadap laluan perkapalan global di laluan yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia.

Sebelum ini, Iran dilaporkan membuka semula selat tersebut pada Jumaat selepas satu gencatan senjata dicapai dalam konflik dengan Israel di Lubnan yang turut menyaksikan peningkatan sentimen positif pasaran global dan penurunan harga minyak.

Bagaimanapun, keadaan berubah apabila beberapa kapal dagang yang melalui kawasan itu dilaporkan berdepan arahan pergerakan semula dengan sebahagiannya membatalkan perjalanan selepas ketidaktentuan keselamatan meningkat.

Dalam perkembangan berkaitan, rundingan damai yang sedang berlangsung terus dipantau rapat oleh pihak antarabangsa dengan Amerika Syarikat mendakwa perjanjian hampir dimuktamadkan, manakala Tehran menafikan beberapa tuntutan utama Washington termasuk pemindahan stok uranium diperkaya. -AFP