PANAMA CITY, 5 Februari-Nicaragua mengumumkan negara berkenaan menarik diri daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) serta menuntut penutupan pejabat agensi berkenaan sebagai tindak balas terhadap laporan yang menunjukkan peningkatan kebuluran di negara Amerika Tengah itu.
Presiden Daniel Ortega menuduh agensi tersebut, yang misinya adalah untuk mencapai keselamatan makanan dan membasmi kebuluran, bersikap "tidak boleh diterima" dan "tidak menghormati."
"Oleh itu, kami mengumumkan penarikan diri Nicaragua daripada organisasi ini dan menuntut penutupan serta-merta wakil serta pejabatnya di Nicaragua," menurut kenyataan yang ditandatangani oleh Menteri Luar, Valdrack Jaentschke.
Laporan FAO yang dikeluarkan bulan lalu menyatakan bahawa kadar kekurangan zat makanan di Nicaragua telah meningkat daripada 17.8 peratus dalam tempoh 2018-2020 kepada 19.6 peratus dalam tempoh 2021-2023.
Kerajaan menolak laporan itu dengan alasan "tidak objektif, tidak mempunyai ketelitian metodologi, mengandungi maklumat palsu... dan disebarkan secara berniat jahat untuk tujuan politik."
Pengkritik menuduh Ortega, seorang bekas gerila berusia 79 tahun, semakin bersikap autoritarian sejak kembali berkuasa pada 2007.
Kerajaannya telah memenjarakan ratusan penentang.
Ia juga telah menutup lebih daripada 5,000 organisasi bukan kerajaan sejak protes besar-besaran pada 2018, yang menurut anggaran PBB telah mengorbankan lebih daripada 300 orang.
Beribu-ribu rakyat Nicaragua telah melarikan diri ke luar negara, dan rejim itu kini dikenakan sekatan oleh AS dan Kesatuan Eropah. Kebanyakan media bebas dan pembangkang kini beroperasi dari luar negara.-AFP.