
KYIV, 23 April – Siri serangan dron oleh Rusia dan Ukraine telah mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang selepas beberapa lokasi diserang dalam tempoh semalaman, menurut pegawai di kedua-dua negara pada Khamis.
- Serangan dron merosakkan bangunan perumahan di Dnipropetrovsk, membunuh tiga dan mencederakan sekurang-kurangnya sepuluh termasuk kanak-kanak.
- Dron Rusia mengenai infrastruktur pengangkutan di Zhytomyr, menyebabkan kematian seorang wanita.
- Dron Ukraine mengenai Samara dan Belgorod, menyebabkan kematian dan kerosakan; kedua-dua tentera menembak jatuh lebih 100 dron semalaman.
Moscow telah melancarkan ratusan dron ke arah negara jirannya hampir setiap malam sejak permulaan pencerobohan, dengan Kyiv turut membalas serangan terbabit.
Ketua wilayah tengah Ukraine,Dnipropetrovsk berkata serangan Rusia ke atas kawasan perumahan telah membunuh tiga orang dan mencederakan sekurang-kurangnya sepuluh lagi termasuk kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan 14 tahun.
Perkhidmatan kecemasan menyiarkan video yang menunjukkan anggota bomba memadam kebakaran di sebuah bangunan pangsapuri dengan beberapa tingkat musnah dan bahagian luar bangunan mengalami kerosakan teruk.
Di wilayah barat Zhytomyr, seorang wanita terbunuh apabila dron Rusia mengenai infrastruktur pengangkutan awam, menurut pentadbiran wilayah.
Di wilayah Samara, Rusia pula yang terletak ratusan kilometer dari garis hadapan, sebuah dron Ukraine telah mengenai bumbung bangunan pangsapuri dengan seorang terbunuh, menurut gabenor wilayah, Vyacheslav Fedorischev.
Serangan Ukraine turut membunuh seorang di wilayah sempadan Rusia, Belgorod.
Tentera kedua-dua negara memaklumkan, mereka berjaya menembak jatuh lebih daripada 100 dron musuh yang dilancarkan semalaman.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang bermula pada Februari 2022 telah mengorbankan ratusan ribu nyawa dan menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal, menjadikannya konflik paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Rundingan antara Kyiv dan Moscow dengan pengantaraan Amerika Syarikat telah terhenti sejak permulaan perang. – AFP