TOKYO, 27 Oktober- Larangan ke atas minuman beralkohol di Shibuya, Tokyo berkuat kuasa pada Jumaat menjelang sambutan Halloween.
Ketetapan itu dilaksana bagi mengelak perhimpunan 'berdarah' sempena festival itu, sama seperti tragedi maut di Korea Selatan, tahun lalu.
Hampir 160 orang maut dihempap di sebuah lorong sempit di Seoul pada 29 Oktober 2022 selepas berpuluh-puluh ribu orang menyerbu ke kawasan kejiranan Itaewon untuk perayaan itu.
Puluhan ribu orang warga Jepun dan asing, memenuhi jalan-jalan sempit di sekitar Shibuya pada tahun-tahun lalu, berpakaian kostum zombi.
Orang ramai telah memperlahankan perkhidmatan kecemasan yang cuba menjangkau orang yang memerlukan.
"Kami amat bimbang kemalangan yang serupa dengan kes maut di Itaewon di Seoul Oktober lalu boleh berlaku pada bila-bila masa," kata Datuk bandar daerah Tokyo, Ken Hasebe bulan ini.
Menjelang hujung minggu ini, video yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dalam bahasa Jepun dan Inggeris turut memfokuskan kepada gangguan yang timbul terhadap penduduk tempatan seperti vandalisme, sampah dan bunyi bising.
"Malam Halloween ini semua orang harus menjauhi Shibuya. Sesetengah orang tinggal di Shibuya," kata mesej video itu.
"Keganasan. Minum di jalanan. Merokok di jalanan. Pelanggaran lalu lintas. Anda tidak boleh memilih bagaimana tindakan anda akan mempengaruhi orang lain," lapor AFP.
Papan iklan telah dipasang dan lokasi popular patung anjing setia terkenal, Hachiko, di luar Stesen Shibuya juga akan ditutup sementara waktu.- AFP