fb fb fb fb fb

Lima maut platform kayu runtuh dalam perhimpunan agama di India

FOTO AFP

LUCKNOW, 28 Januari- Sekurang-kurangnya lima maut manakala dan 40 lagi cedera apabila sebuah platform kayu runtuh semasa perhimpunan keagamaan di utara India, pada Selasa.

Kejadian itu berlaku di daerah Baghpat, utara New Delhi, di mana ratusan penganut agama Jain telah berkumpul di sebuah kuil bagi membuat manisan untuk dipersembahkan kepada dewa.

"Struktur kayu runtuh menyebabkan lima orang maut," kata majistret daerah Asmita Lal kepada AFP.

"Empat puluh orang lagi cedera dan daripada jumlah itu, 20 orang telah dihantar pulang selepas menerima rawatan awal," tambahnya.

Platform tersebut didirikan setiap tahun sempena festival untuk memperingati pembebasan dewa Jain, Adinatha, menurut laporan rangkaian berita NDTV.

"Para sami pergi untuk mempersembahkan laddoo (manisan) dan platform itu runtuh bersama ratusan penganut yang berada di atasnya," kata Rakesh Jain, salah seorang penganut, kepada penyiar itu.

Kemalangan maut sering berlaku di tempat ibadat di India semasa perayaan keagamaan besar disebabkan pengurusan orang ramai yang lemah dan kurangnya langkah keselamatan.

Tahun lalu, 121 orang terbunuh di negeri Uttar Pradesh dalam satu kejadian rempuhan selepas satu ceramah agama tamat.

Manakala pada 2016, seramai 112 orang maut akibat letupan besar yang berpunca daripada pertunjukan bunga api haram sempena tahun baru Hindu di sebuah kuil di negeri Kerala.

Kemalangan pada Selasa itu berlaku ketika berjuta-juta penganut menghadiri Kumbh Mela, sebuah festival doa dan mandi ritual Hindu yang diadakan di kota Prayagraj yang berdekatan.

Jainisme ialah agama kuno India, dianuti oleh kurang daripada satu peratus penduduk India yang berjumlah 1.25 bilion yang menekankan prinsip tanpa kekerasan, vegetarianisme ketat serta kasih sayang terhadap semua makhluk hidup tanpa mengira besar atau kecil.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE