
BUKIT JALIL, 19 Julai – Kecekalan SSTMI-PKS UNITEN Juniors membuahkan hasil apabila berjaya menamatkan saingan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2026 Divisyen Perempuan di tempat ketiga selepas menundukkan Akademi Hoki MBPJ menerusi penentuan ‘shoot-out’ di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, pada Sabtu.
- Perlawanan ditangguhkan akibat hujan lebat, dimulakan semula pada 5.30 petang.
- Nur Najihah Shahruddin membuka jaringan pada minit ke-22 dengan gol padang.
- Ketua jurulatih Liyana puji perkembangan pemain; fokus kepada kemahiran, kematangan dan pendedahan di kejohanan akan datang.
Aksi penuh dramatik itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat masa permainan, sebelum SSTMI-PKS UNITEN Juniors mempamerkan ketenangan untuk menang 3-2 dalam penentuan pukulan penalti sekali gus membawa pulang pingat gangsa.
Perlawanan yang dijadualkan berlangsung jam 4 petang itu terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat sebelum dimulakan pada 5.30 petang.
SSTMI-PKS UNITEN Juniors memulakan aksi dengan penuh bertenaga apabila membuka jaringan pada minit ke-22 menerusi Nur Najihah Shahruddin yang menyempurnakan gol padang (field goal) untuk mendahului 1-0.
Namun, Akademi Hoki MBPJ bangkit pada separuh masa kedua apabila Nursyafeena Zulaika Yusmadi menyamakan kedudukan pada minit ke-49 menerusi pukulan sudut penalti (penalty corner).
Keputusan seri memaksa perlawanan ditentukan menerusi shoot-out, dengan SSTMI-PKS UNITEN Juniors lebih unggul untuk memastikan kemenangan dan menamatkan kempen sebagai pemenang pingat gangsa.
Ketua Jurulatih SSTMI-PKS UNITEN Juniors, Liyana Aqilah Sepawi berkata, beliau berpuas hati dengan peningkatan prestasi pemain yang menunjukkan perkembangan positif sepanjang kejohanan.
“Walaupun berdepan cabaran sehingga ke penentuan akhir, pemain kekal yakin dan mempamerkan semangat juang tinggi bagi memastikan kemenangan.
“Pasukan kini akan memberi tumpuan kepada usaha memperkemas kemahiran serta meningkatkan kematangan pemain menerusi lebih banyak pendedahan pada kejohanan akan datang,”katanya.
Kejayaan itu sekali gus membuktikan kemampuan SSTMI-PKS UNITEN Juniors sebagai antara pasukan berpotensi dalam saingan hoki remaja wanita negara.