Aksi final Piala Dunia 2026 dijangka berlangsung dalam jerebu

Lamine Yamal dan Lionel Messi akan bertembung di pentas akhir awal pagi Isnin ini. Foto/AFP

EAST RUTHERFORD, 18 Julai – Sepanyol dan Argentina bersedia untuk aksi kemuncak Piala Dunia FIFA 2026 yang bakal berlangsung di New Jersey awal pagi Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlawanan dijangka berlangsung dalam jerebu akibat kebakaran hutan di Kanada.
  • Donald Trump dijangka hadir di Stadium MetLife bersama lebih 80,000 penonton; ini satu-satunya perlawanan Piala Dunia yang akan dihadirinya.
  • Argentina berpeluang mempertahankan kejuaraan, manakala Sepanyol memburu gelaran kedua sejak 2010.

Perlawanan dijangka berlangsung dalam keadaan jerebu akibat kebakaran hutan di Kanada.

Pengarah Eksekutif Pasukan Petugas Piala Dunia White House, Andrew Giuliani memaklumkan, asap daripada kebakaran hutan di Kanada telah menyelubungi sebahagian besar ruang udara Amerika Syarikat.

Dalam perlawanan final, Presiden Donald Trump dijangka hadir bersama lebih 80,000 penonton di Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey bagi menyaksikan perlawanan akhir kejohanan terbesar dalam sejarah Piala Dunia itu.

Ia merupakan satu-satunya perlawanan Piala Dunia yang akan dihadiri Trump sepanjang kejohanan.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum sebelum ini turut mengesahkan kehadirannya selepas menerima jemputan daripada Trump.

Argentina yang diketuai Lionel Messi berpeluang muncul pasukan pertama sejak Brazil pada 1962 mempertahankan kejuaraan Piala Dunia, manakala Sepanyol memburu gelaran kedua selepas menjulang trofi buat kali pertama pada 2010.

Kapten Sepanyol, Rodri menjangkakan perlawanan akhir itu akan berlangsung dalam suasana yang lebih fizikal dan berintensiti tinggi, sambil menegaskan pasukannya tidak akan terpengaruh dengan sebarang provokasi lawan.

Pemenang Ballon d’Or 2024 itu berkata, final kali ini berbeza daripada semua perlawanan yang diharungi juara Eropah tersebut sepanjang kejohanan.

“Saya fikir perlawanan Ahad nanti akan sangat berbeza. Ia akan lebih fizikal dan kami perlu bersedia. Namun kekuatan pasukan ini ialah kami mampu menyesuaikan diri mengikut situasi permainan.

“Kami boleh bertahan, melakukan serangan balas atau menguasai permainan menyerang. Kami sebuah pasukan yang lengkap dan itulah sebabnya kami berada di final,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Argentina, Lionel Scaloni menggesa peminat menghargai peluang menyaksikan Lionel Messi mengetuai pasukan dalam satu lagi final Piala Dunia pada usia 39 tahun. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.